
MELAKA BERPOTENSI JADI HAB PENERBANGAN TAMBANG MURAH SERANTAU
SERI NEGERI 13 Julai – Melaka berpotensi menjadi hab penerbangan tambang murah (LCC) serantau Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Hameed berkata, ketika ini Kerajaan Negeri sudah melakukan rundingan strategik bagi membuka laluan antarabangsa baharu bersama wakil beberapa syarikat penerbangan berpotensi.
Katanya, usaha itu kelak akan memperkukuhkan lagi rangkaian penerbangan, sekali gus menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) sebagai pintu masuk pelancongan dan pelaburan negeri.
“Fokus utama perancangan ini adalah mengaktifkan pasaran serantau selain menghubungkan pasaran pelaburan serta pelancongan bernilai tinggi ke LTAM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) mengenai perancangan melaksanakan projek pemanjangan landasan LTAM pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Menurutnya, kemasukan pelancong menerusi laluan penerbangan baharu dijangka menyumbang secara langsung kepada sasaran impak ekonomi pelancongan negeri yang dianggarkan mencecah RM6.24 bilion.
“Kejayaan pengoperasian laluan Pekanbaru-Melaka yang mendapat sambutan positif menjadi pemangkin kepada usaha Kerajaan Negeri untuk merancang pembukaan lebih banyak laluan udara baharu dalam tempoh terdekat.
“Antara laluan sedang diberi perhatian termasuk sambungan ke Batam (Indonesia), Pulau Pinang dan Kota Bharu (Kelantan) bagi memperkukuh kedudukan LTAM sebagai hab penerbangan serantau yang berkembang maju,” katanya.
Menurutnya, bagi pasaran Indonesia, Kerajaan Negeri menyasarkan pembukaan laluan Melaka-Batam menjelang akhir tahun ini.
“Batam dikenal pasti sebagai hab ekonomi utama Indonesia yang strategik, selain laluannya mampu mempercepat kemasukan pelancong kesihatan ke rangkaian hospital swasta Melaka tanpa bergantung kepada pengangkutan feri.
“Bagi pasaran China pula, kita memberi tumpuan kepada usaha menarik lebih ramai pelabur sektor pembuatan serta pelancong asing, termasuk mempromosikan Melaka sebagai destinasi Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE),” katanya.
Hameed berkata, memandangkan LTAM mempunyai kapasiti terhad untuk menerima pesawat bersaiz Lebar (lebar) secara terus dari China, Kerajaan Negeri sedang meneliti model penerbangan hibrid menerusi kerjasama syarikat penerbangan sekutu.
Katanya, pendekatan itu membolehkan pelancong dan pelabur dari bandar utama China seperti Chongqing dan Nanjing menikmati penerbangan sambungan domestik ke Melaka.
Selain itu, beliau berkata Melaka turut menyasarkan pasaran pelancongan santai dari Bangkok, Thailand dan Bandar Ho Chi Minh, Vietnam melalui kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Usaha sedang dirangka termasuk menawarkan insentif pendaratan menarik kepada syarikat penerbangan serantau yang berminat menggunakan kod perkongsian (codeshare) melalui LTAM.
“Langkah ini dijangka meningkatkan daya saing LTAM serta memperluaskan akses pelancong dan pelabur antarabangsa ke Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


