
MELAKA PERUNTUK RM340,000 SEDIA BANTUAN KATIL PESAKIT TERLANTAR
SERI NEGERI 13 Julai – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka memperuntukkan sebanyak RM340,000 bagi penyediaan kemudahan pesakit terlantar di seluruh negeri sepanjang tahun ini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, setakat Jun tahun ini, sejumlah RM209,708.20 peruntukan telah digunakan bagi membantu seramai 63 penerima.
Selain JKM, ujar beliau, agensi seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut menyediakan peruntukan bagi kemudahan sama, di mana sehingga Jun 2026, sebanyak RM19,800 telah disalurkan dan memberi manfaat kepada 63 penerima.
“Pada masa sama, agensi pemberi bantuan lain seperti PERKESO, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ada menyediakan Bantuan Alat Tiruan dan Sokongan termasuklah Katil Pesakit bagi mereka yang layak berdasarkan syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh setiap Agensi, di mana bantuan ini diberikan terus untuk kegunaan kepada pesakit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN – Pantai Kundor) mengenai kemudahan katil pesakit terlantar pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kalsom memaklumkan, Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan kepada setiap JAPERUN bagi tujuan khidmat masyarakat, di mana, peruntukan tersebut boleh digunakan bagi melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan.
Jelas beliau, ia termasuklah membeli Alat Tiruan dan Sokongan seperti katil pesakit bagi tujuan peminjaman kepada pesakit terlantar serta golongan yang memerlukan di kawasan masing-masing.
“Selain daripada jabatan dan agensi terdapat juga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang turut menyediakan bantuan alat tiruan termasuk katil khas seperti Yayasan Buddhist Tzu Chi Melaka, Happy Charity Association dan lain lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


