Sorting by

×

385 RAKYAT MELAKA TERIMA MANFAAT PROGRAM LESEN PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 15 Julai – Sebanyak 385 permohonan Program Lesen Memandu Percuma Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) diluluskan setakat 30 Jun 2026.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, daripada 516 permohonan yang diterima, 403 adalah kategori B40 manakala 113 lagi melibatkan orang kurang upaya (OKU).

“Sebanyak 294 permohonan daripada kategori B40 dan 91 permohonan daripada kategori OKU diluluskan, manakala 131 permohonan belum lagi diluluskan membabitkan 109 permohonan B40 serta 22 permohonan OKU.

“Bagi DUN Lendu sahaja sebanyak tiga permohonan telah diterima melibatkan dua pelajar sekolah dan seorang peserta daripada kategori OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengenai jumlah penerima manfaat Program Lesen Memandu Percuma Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) di DUN Lendu pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Katanya, Program MeSRa merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menyediakan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 secara percuma kepada rakyat yang layak.

“Program ini bagi membantu golongan B40 yang tidak mampu menanggung kos mendapatkan lesen memandu, mengurangkan bilangan penunggang motosikal tanpa lesen, meningkatkan kesedaran serta pematuhan terhadap undang-undang jalan raya selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang memerlukan lesen memandu.

“Ia turut menyasarkan golongan B40, belia dan graduan memerlukan lesen untuk mendapatkan pekerjaan, pelajar berusia 16 tahun ke atas yang menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama serta golongan OKU yang memenuhi syarat kelayakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

518
Kongsi :
Previous post KERAJAAN NEGERI BANTU PERCEPAT PROSES PERMOHONAN PUSAT JAGAAN
Next post LAPAN PROJEK RTB BERNILAI RM1.456 BILION PERKUKUH MITIGASI BANJIR DI MELAKA