Sorting by

×

ADLY SOKONG PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI, KEPUTUSAN POLITIK DIBINCANG ESOK

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

SERI NEGERI, 15 Julai – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menegaskan beliau masih menyokong pentadbiran Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, namun sebarang keputusan berkaitan langkah politik hanya akan dibincangkan dalam mesyuarat PH Melaka yang dijadual berlangsung esok.

Adly berkata, buat masa ini pentadbiran Kerajaan Negeri terus mendapat sokongan meskipun PH tidak bersetuju dengan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan Adun Lantikan, selain mesyuarat esok akan mengambil kira pandangan semua parti komponen, kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan serta Perdana Menteri.

“Buat masa ini Ketua Menteri kita seorang sahaja dan kita terus menyokong pentadbiran negeri. Apa-apa keputusan berkaitan langkah politik akan kita bincangkan dalam Mesyuarat PH Melaka esok,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, hari ini.

Mengulas mengenai kedudukannya dalam pentadbiran negeri, Adly berkata beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam Kerajaan Negeri, justeru tiada keperluan untuk melepaskan sebarang jawatan seperti beberapa wakil rakyat lain.

“Saya tidak ada jawatan dalam kerajaan negeri. Yang lain itu ada jawatan sebagai Exco, Timbalan Exco atau Timbalan Speaker. Sebab itu perkara itu akan kita kemaskan menerusi mekanisme yang diputuskan kemudian supaya tidak mengganggu urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Mengenai pendirian beliau terhadap pindaan Perlembagaan Negeri itu, Adly berkata cadangan pelantikan Adun Lantikan ditolak kerana berasaskan tiga prinsip utama iaitu jumlah pelantikan yang dicadangkan serta implikasinya terhadap demokrasi serta beban kewangan kepada Kerajaan Negeri.

Menurut beliau, cadangan melantik sehingga tujuh Adun Lantikan disifatkan terlalu besar kerana mewakili kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka, jauh lebih tinggi berbanding Johor, Pahang dan Sabah yang menetapkan jumlah pelantikan di bawah 10 peratus.

“Secara peribadi saya juga telah memaklumkan kepada Ketua Menteri sebelum ini bahawa jika jumlahnya sekitar tiga orang mungkin lebih munasabah namun tujuh orang adalah terlalu ramai dan tiada jaminan kuota itu tidak akan digunakan sepenuhnya oleh mana-mana kerajaan pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

250
Kongsi :
Previous post BIL AIR PERCUMA BERI MANFAAT 327 KELUARGA MANGSA BANJIR MELAKA
Next post KERAJAAN NEGERI TERUS BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT