
AB RAUF JAMIN PENTADBIRAN MELAKA KEKAL STABIL
SERI NEGERI 15 Julai – Kerajaan Negeri menghormati keputusan DAP Melaka untuk keluar daripada pentadbiran negeri dan melepaskan semua jawatan yang disandang.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta agar ruang rundingan dibuka, namun di pihak DAP, mereka seolah-olah enggan berunding dan telah membuat keputusan.
Justeru, ujar beliau, keputusan itu diterima dengan hati terbuka, selain turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kebersamaan yang dibina dalam tempoh tiga tahun.
“Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk memanjangkan polemik, menuding jari ataupun mempertikaikan hak mana-mana parti untuk membuat keputusan berdasarkan kepada prinsip dan pertimbangan oleh parti-parti politik masing-masing.
“Kita mungkin tidak lagi bersama dalam pentadbiran negeri, tetapi kita tidak perlu menjadi musuh, sama ada dalam bentuk peribadi ataupun menjadi musuh dalam usaha membela kepentingan rakyat Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir Persidangan Kedua, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di sini, hari ini.
Menurut Ab Rauf, keutamaan pentadbiran beliau ketika ini adalah memastikan pentadbiran negeri terus berjalan lancar.
Beliau turut memberi jaminan kepada seluruh rakyat Melaka, para penjawat awam, komuniti perniagaan, pelabur dan semua pihak berkepentingan bahawa urusan pentadbiran Kerajaan Negeri tetap akan terus berjalan seperti biasa.
“Kita akan terus bekerja lebih kuat, lebih tersusun, lebih berfokus untuk memastikan amanah rakyat dapat dilaksanakan,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


