
MELAKA LAKSANA 5 STRATEGI TAMBAH BAIK TEMPOH MENUNGGU FASILITI KESIHATAN
SERI NEGERI 15 Julai – Tempoh menunggu di fasiliti kesihatan kerajaan di Negeri Melaka disifatkan setanding malah lebih baik berbanding beberapa negara serantau hasil pelbagai langkah penambahbaikan yang dilaksanakan.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif secara berterusan berjaya meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Jelas beliau, antara langkah utama yang dilaksanakan ialah memperkukuhkan pelaksanaan Kluster Kesihatan Bersepadu Negeri Melaka yang membolehkan Hospital Melaka, Hospital Jasin, Hospital Alor Gajah dan klinik-klinik kesihatan berkongsi sumber, kepakaran serta kemudahan secara lebih optimum.
Selain itu, katanya, sistem rujukan terus ke wad bagi pesakit yang stabil turut dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan mempercepatkan proses kemasukan pesakit yang memerlukan rawatan lanjut.
“Pada masa sama, perkhidmatan Klinik Extended Hour di Klinik Kesihatan Peringgit, Klinik Kesihatan Jasin dan Klinik Kesihatan Alor Gajah juga diteruskan sehingga jam 9 malam, di mana ia memberi pilihan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan primer selepas waktu pejabat dan pada masa sama membantu mengurangkan kehadiran kes bukan kecemasan ke hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) mengenai purata tempoh masa menunggu di hospital dan klinik kesihatan Melaka pada Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15 di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, pelaksanaan Hospital Services Outsourcing Programme (HSOP) turut membolehkan pesakit hospital kerajaan mendapatkan perkhidmatan diagnostik dan prosedur tertentu di hospital swasta, termasuk imbasan CT Scan, MRI, echocardiogram serta beberapa prosedur pembedahan terpilih.
“Pelaksanaan program ini secara langsung membantu mengurangkan tempoh menunggu bagi rawatan tertentu dan mempercepatkan akses pesakit kepada perkhidmatan yang diperlukan,” ujarnya.
Menurut beliau, pendigitalan perkhidmatan kesihatan juga terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) di klinik kesihatan, sistem pendaftaran hospital melalui Medical Programme Information System (MPIS) serta projek i-CEMAS yang membantu orang awam membuat penilaian kendiri dan memilih fasiliti rawatan yang lebih sesuai.
“Hasil pendigitalan ini, jumlah kedatangan pesakit Zon Hijau ke Jabatan Kecemasan berjaya dikurangkan daripada 57,688 kes pada tahun 2024 kepada 55,479 kes pada tahun 2025,” katanya.
Di peringkat klinik kesihatan pula, Hee Sem memaklumkan, beberapa langkah lain turut dilaksanakan bagi mengurangkan tempoh menunggu pesakit, antaranya memperkukuhkan sistem janji temu berperingkat melalui aplikasi MySejahtera.
Jelas beliau, ia membolehkan kehadiran pesakit dapat disusun mengikut slot masa serta mengurangkan kesesakan pada waktu puncak.
Selain itu, ujar beliau, penempatan dan jadual bertugas anggota kesihatan turut dioptimumkan mengikut beban kerja semasa, khususnya di kaunter pendaftaran, saringan, bilik konsultasi, makmal, farmasi dan unit perkhidmatan utama.
“Perkhidmatan Virtual Clinic juga terus diperkasa bagi membolehkan pesakit mendapatkan konsultasi pada masa yang ditetapkan tanpa perlu hadir secara fizikal ke klinik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


