Sorting by

×

HAWANA 2026: TNB RAI PENGAMAL MEDIA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 16 Julai – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mengiktiraf peranan penting pengamal media sebagai rakan strategik dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat.

Pengiktirafan itu dizahirkan menerusi Majlis Hi-Tea Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di Hotel MITC, di sini, baru-baru ini.

Majlis berlangsung dalam suasana penuh meriah itu turut dihadiri Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Turut bersama, Pengurus Besar (Retail & Stakeholders – Melaka) TNB Mariati Che Omar; Pengarah Suruhanjaya Tenaga Melaka & N.Sembilan Amir Faisal Khamshah; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini Sdn Bhd Nasharuddin Muhammad serta Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) Amir Mamat.

Fairul Nizam dalam ucapannya berkata, penghargaan yang diberikan oleh TNB kepada pengamal media membuktikan hubungan erat yang terjalin antara syarikat utiliti nasional itu bersama media dalam memastikan pelbagai inisiatif dan maklumat sampai kepada rakyat.

“TNB banyak membantu Kerajaan Negeri dan masyarakat di Melaka menerusi pelbagai program kemasyarakatan serta sentiasa bekerjasama rapat dengan pengamal media dalam menjayakan program-program berimpak tinggi.

“Semua ini jelas menunjukkan bahawa, peranan pengamal media di negeri ini kekal penting apabila terus diiktiraf bukan sahaja oleh Kerajaan Negeri, bahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta lain-lain lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan turut meminta media di negeri ini bersama membantu menyebarluaskan maklumat berkaitan pelbagai inisiatif yang disediakan TNB kepada pengguna termasuk pelaksanaan Time of Use (TOU) atau Tarif Mengikut Masa Penggunaan.

“Media merupakan ejen terbaik untuk membantu menyampaikan maklumat mengenai inisiatif seperti TOU supaya rakyat memahami bagaimana mereka boleh menikmati kadar tarif yang lebih menjimatkan berdasarkan waktu penggunaan elektrik.

“Kita mahu lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada inisiatif ini dan di sinilah pentingnya peranan media dalam mendidik serta menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat,” katanya.

01AF0466
AKSI pengamal media pada Pertandingan Boling TNB dan Media Melaka di MIBC, Ayer Keroh.

Selain majlis minum petang, TNB juga turut bersama para pengamal media Melaka menunjukkan semangat kesukanan tinggi menerusi pertandingan boling yang diadakan di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

439
Kongsi :
Previous post BERGAMBAR DENGAN BOT ‘ZEBRA’, DAPAT DISKAUN ZOO MELAKA
Next post JKM MELAKA BAKAL TERIMA 10 PEGAWAI BAHARU