
RUMAH UZUR DIMAKAN ANAI-ANAI, TOK RAUF UMUM RM70,000 BINA RUMAH BAHARU
MERLIMAU 17 Julai – Bapa empat anak yang mendiami rumah uzur dimakan anai-anai bakal mendiami kediaman lebih selesa apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengumumkan kelulusan peruntukan RM70,000 bagi pembinaan rumah baharu.
Berita gembira itu disampaikan sendiri kepada Ab Rahman Atan, 60, dari Kampung Merlimau Pasir bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, hari ini.
Ketua Menteri berkata, keputusan membina rumah baharu itu dibuat selepas pihak Kerajaan Negeri bersama Lembaga Perumahan Melaka (LPM) melakukan siasatan serta meneliti keperluan keluarga berkenaan.
“Kerajaan Negeri menerusi wakil rakyat bersama LPM telah menyiasat keperluan keluarga ini dan mendapati mereka sememangnya layak untuk dibantu menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Program Melaka Rumahku.
“Justeru, kita meluluskan peruntukan sebanyak RM70,000 bagi membina sebuah rumah baharu secara percuma dan kita akan berusaha menyegerakan pembinaannya supaya keluarga ini dapat mendiami rumah yang lebih selesa dan selamat,” katanya selepas menziarahi rumah keluarga berkenaan.
Turut bersama, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin serta lain-lain kenamaan.
Pada sesi ziarah itu, Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan kit makanan bagi meringankan beban keluarga itu.
Keprihatinan yang ditunjukkan Kerajaan Negeri sekali gus membuktikan gagasan Melaka Sayang Rakyat benar-benar memberi limpahan nikmat kepada segenap lapisan masyarakat, khususnya golongan memerlukan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


