
KETUA MENTERI TUNAI SOLAT JUMAAT DI MASJID JAMEK AR-RAHIM MERLIMAU
MERLIMAU 17 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama kira-kira 500 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar-Rahim, di sini, hari ini.
Ia bersempena Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang berkonsep turun padang ke pelbagai lokasi sejak awal pagi tadi.
Turut mengiringi beliau, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman serta lain-lain kenamaan.
Terdahulu, Ketua Menteri bersama jemaah mendengar khutbah bertajuk ‘Arak – Musuh Akal Dan Pemusnah Ummah’ dan kemudiannya menunaikan solat Jumaat.
Usai solat, Ab Rauf meluangkan masa beramah mesra bersama jemaah dan penduduk sekitar pada kenduri rakyat yang diadakan di perkarangan masjid berkenaan.
Jemaah yang hadir juga turut menerima sumbangan beras percuma daripada Skuad Tok Rauf.

Pada majlis sama, Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada pihak masjid dalam DUN Merlimau bagi membantu memperkasa pelbagai aktiviti keagamaan dan kebajikan.
Selain itu, sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan, beliau turut menyampaikan sebuah motosikal roda tiga kepada orang kurang upaya (OKU) serta kerusi roda elektrik kepada seorang penerima yang diuji dengan masalah kesihatan, bagi memudahkan urusan pergerakan dan kehidupan harian mereka.
Selepas itu, Ketua Menteri dijadual menghadiri Program Hari Exco Bersama Rakyat (HEBAT) di Dewan Datuk Haji Ahmad Ithnin bagi mendengar segala aduan dan permasalahan rakyat, selain turut membantu pelbagai bentuk permohonan yang dikemukakan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


