Sorting by

×

HARI BERTEMU PELANGGAN MBMB PERCEPAT PENYELESAIAN MASALAH

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 17 Julai – Program Hari Bertemu Pelanggan anjuran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terus menjadi platform berkesan dalam mempercepatkan penyelesaian pelbagai isu dan permasalahan warga bandaraya menerusi pendekatan perkhidmatan secara terus dan bersepadu.

Program yang berlangsung di Dewan Taming Sari MBMB itu menghimpunkan lebih 10 jabatan dan agensi kerajaan bagi memudahkan orang ramai mengemukakan aduan, pertanyaan serta mendapatkan penyelesaian segera tanpa perlu berurusan dengan pelbagai pihak secara berasingan.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen MBMB dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan selain memastikan setiap isu yang dibangkitkan rakyat dapat ditangani dengan lebih pantas dan efektif.

Menurutnya, penganjuran program itu bukan sekadar memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) MBMB, malah turut menyahut aspirasi Kerajaan Negeri yang mahu setiap jabatan dan agensi bertindak proaktif dalam menyelesaikan isu rakyat.

“Program Hari Bertemu Pelanggan ini memberi ruang kepada rakyat untuk berurusan secara terus dengan jabatan dan agensi berkaitan tanpa perlu melalui proses yang panjang.

“Apabila semua agensi berkumpul di bawah satu bumbung, sebarang isu dapat dibincangkan dan diselesaikan dengan lebih cepat serta berkesan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, inisiatif itu juga selaras dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di bawah payung Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang mahu semua agensi kerajaan sentiasa mendekati masyarakat dan mempercepatkan tindakan terhadap isu yang dihadapi rakyat.

“MBMB sentiasa menyokong setiap inisiatif Kerajaan Negeri dan akan terus memperbanyakkan program seperti ini di kawasan pentadbiran MBMB bagi memastikan kebajikan serta kepentingan rakyat sentiasa diberi keutamaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

454
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI TUNAI SOLAT JUMAAT DI MASJID JAMEK AR-RAHIM MERLIMAU
Next post PROJEK TEBATAN BANJIR LEGAKAN PENDUDUK MERLIMAU