
PROJEK TEBATAN BANJIR LEGAKAN PENDUDUK MERLIMAU
MERLIMAU 17 Julai – Projek Tebatan Banjir Bandar Merlimau sedang dilaksanakan dijangka mampu mengurangkan risiko banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu apabila siap sepenuhnya pada 23 September 2027.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan projek itu disiapkan mengikut jadual demi memberi penyelesaian jangka panjang kepada masalah banjir yang membelenggu penduduk di Merlimau.
“Kita akan berusaha menyelesaikan masalah banjir di kawasan ini sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Ab Rauf berkata demikian dalam ucapan ringkasnya ketika mengadakan lawatan Projek Tebatan Banjir Bandar Merlimau sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Merlimau di Warong Along Pijah, Kampung Kilang Berapi Barat, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pengerusi Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh
Yang turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.
Pada lawatan itu, Ab Rauf turut berkesempatan beramah mesra dan bertanya khabar penduduk kampung yang hadir, selain meluangkan masa mendengar pandangan serta keperluan mereka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

