Sorting by

×

SUKAN JADI TRADISI BAHARU SATUKAN KELUARGA BESAR MELAKA – KM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SUNGAI UDANG 18 Julai – Lebih 6,000 peserta bakal memeriahkan Kejohanan Sukan 2 Jiwa 1 Hati dan Kejohanan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka bagi edisi 2026.

Kejohanan Sukan 2 Jiwa 1 Hati akan berlangsung 18 hingga 26 Julai, manakala Sukan Badan Beruniform pula dijadual pada 27 Julai hingga 1 Ogos depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, edisi kedua tahun ini berjaya menarik penyertaan lebih ramai peserta, sekali gus membuktikan acara sukan itu semakin mendapat sambutan dan menjadi platform yang menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang.

Jelas Ketua Menteri, bagi dua edisi penganjurannya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1.07 juta bagi menjayakan kejohanan tersebut, sekali gus menjadi manifestasi ‘pelaburan’ dalam membina masyarakat sihat, berdisiplin dan bersatu menerusi penganjuran sukan.

“Alhamdulillah, sukan ini memberikan satu isyarat jelas bahawa kejohanan ini bukan lagi sekadar acara sukan, tetapi tradisi baharu yang menyatukan kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Kejohanan Sukan 2 Jiwa 1 Hati dan Kejohanan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2026 di Dataran Parawood, Kem Terendak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Panglima 3 Divisyen Kem Terendak Mejar Jeneral Sani S. Omar dan Panglima 10 Briged Para Mejar Jeneral Datuk Khairul Anwar Soib.

Ab Rauf berkata, penganjuran kejohanan itu bukan sekadar medan pertandingan sukan, sebaliknya turut memperkukuh semangat kekitaan.

“Menerusi kejohanan ini kita dapat menghimpunkan warga Melaka dengan satu semangat dan matlamat serta berdiri sebagai sebuah keluarga besar di negeri ini.

“Terima kasih kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) khususnya warga Kem Terendak selaku tulang belakang penganjuran kedua-dua kejohanan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

420
Kongsi :
Previous post MELAKA BINA BANDARAYA SELAMAT, BERDAYA TAHAN
Next post 2 JIWA 1 HATI SATUKAN 4,000 RAKYAT, TENTERA DALAM SUKAN