
MELAKA TERUS DIYAKINI KOMUNITI PERNIAGAAN, PELABUR
AYER KEROH 20 Julai – Keyakinan komuniti perniagaan dan pelabur terhadap Melaka terus kukuh apabila negeri ini merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM14.68 bilion menerusi 312 projek pada tahun 2025, sekali gus menjadi pencapaian pelaburan tertinggi dalam tempoh 22 tahun.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan Melaka semakin diyakini sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif, progresif dan responsif terhadap keperluan industri.
Menurut beliau, dalam era pendigitalan, automasi, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau serta kemunculan industri bernilai tinggi, Melaka tidak lagi sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya turut bergerak pantas bagi memenuhi keperluan pelabur.
Justeru, Ketua Menteri memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri komited menyediakan ekosistem pelaburan yang kondusif dengan mempercepatkan segala urusan di bawah bidang kuasa negeri serta membantu menyelaras proses yang melibatkan agensi Persekutuan.
“Di hadapan para pemimpin industri dan pelabur, saya ingin memberikan satu jaminan yang jelas. Melaka bukan sekadar mahu menarik pelaburan masuk, tetapi mahu memastikan setiap pelaburan dapat bermula dengan lancar, berkembang dengan yakin dan kekal berdaya saing untuk jangka panjang.
“Jika sesuatu perkara berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, kita akan percepatkan. Jika melibatkan agensi Persekutuan, kita akan membantu menyelaras dan memudah cara. Apa yang penting, setiap pelabur memperoleh hala tuju yang jelas dan penyelesaian yang pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kejohanan Golf Melaka Industrial Networking 2026 di Ayer Keroh Country Club (AKCC), di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Pengerusi AKCC Datuk Rahmad Mariman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Ketua Menteri berharap Perbadanan Melaka (MCORP) terus memainkan peranan sebagai pintu hadapan kepada pelabur serta penghubung strategik antara Kerajaan Negeri dengan komuniti perniagaan dan industri.
Katanya, kejayaan MCORP bukan hanya diukur berdasarkan jumlah pelabur yang dibawa masuk, tetapi sejauh mana pelaburan itu dapat direalisasikan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Kepada para pemain industri dan pelabur, pintu Kerajaan Negeri Melaka sentiasa terbuka menerima pelaburan strategik dan bernilai tinggi. Datanglah meneroka peluang di negeri ini, bawalah teknologi, kepakaran dan peluang pekerjaan, manakala Kerajaan Negeri bersedia menjadi rakan yang memudah cara perjalanan pelaburan anda,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


