Sorting by

×

PORTAL DIGITAL TOK AJAK MUDAHKAN RAKYAT TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TELOK MAS 20 Julai – Tidak hanya menggunakan kaedah konvensional dalam mengurus aduan rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman memecah tradisi dengan memperkenalkan portal khas mendahului lebih ramai wakil rakyat lain.

Meletakkan kebajikan rakyat sebagai elemen penting, beliau memaklumkan, portal abdulrazakabdulrahman.com diwujudkan bagi memastikan tiada isu keciciran dalam kalangan rakyat dalam mendapatkan bantuan atau menyalurkan aduan.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan diwujudkan bagi melengkapkan sistem sedia ada seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) Kerajaan Negeri Melaka yang mengendalikan aduan melibatkan kesemua 28 DUN di negeri ini.

KURANGKAN BIROKRASI

Jelas beliau, portal khas itu membolehkan setiap aduan daripada penduduk Telok Mas diterima secara terus tanpa perlu melalui proses tapisan yang panjang, sekali gus mempercepatkan tindakan susulan.

“Bila rakyat membuat aduan melalui portal ini, saya boleh terus menerima maklumat yang lengkap termasuk lokasi dan JPKK terlibat. Jadi lebih mudah untuk kita mengenal pasti masalah serta mengambil tindakan dengan segera.

“Kita tidak menidakkan peranan SISPA, tetapi sistem itu menguruskan ribuan aduan daripada 28 DUN. Portal ini pula diwujudkan khusus untuk penduduk Telok Mas,” katanya dalam sesi Podcast Mana Lagi Melaka Ler bersama Melaka Hari Ini.

Abdul Razak yang mesra dengan panggilan Tok Ajak berkata, portal rasmi itu bukan sahaja bagi memudahkan rakyat menyalurkan aduan, bahkan pada masa sama turut berfungsi sebagai profil memuatkan segala maklumat berkaitan DUN Telok Mas.

HIMPUN PELBAGAI MAKLUMAT, PENCAPAIAN

Ini kerana menurutnya, portal itu turut menghimpunkan pelbagai maklumat berkaitan program, aktiviti, pencapaian dan laporan pembangunan yang dilaksanakan di DUN berkenaan.

Menurut Tok Ajak, pendekatan digital itu memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat tanpa perlu mencari semula kandungan lama di media sosial seperti Facebook atau TikTok.

“Kalau nak tahu apa yang telah dilakukan pada tahun 2022 atau tahun-tahun sebelumnya, rakyat hanya perlu melayari portal tersebut. Semua maklumat, keratan akhbar dan laporan aktiviti boleh diakses dengan mudah.

“Ia bukan sekadar memaparkan apa yang kita buat, tetapi menjadi bukti dan rekod yang boleh dirujuk oleh rakyat serta media,” katanya.

Tambah beliau, portal tersebut dibangunkan pihaknya dengan kerjasama sekumpulan anak muda, sekali gus membuktikan kepakaran bakat muda di negeri ini dalam memacu agenda transformasi digital.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

674
Kongsi :
Previous post MELAKA TERUS DIYAKINI KOMUNITI PERNIAGAAN, PELABUR
Next post PENDIDIKAN AGAMA BENTUK GENERASI MELAKA BERILMU, BERAKHLAK