Sorting by

×

PENDIDIKAN AGAMA BENTUK GENERASI MELAKA BERILMU, BERAKHLAK

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

PANTAI KUNDOR 20 Julai – Pendidikan agama sejak usia muda adalah asas penting dalam membentuk generasi berilmu, berakhlak dan mampu memimpin masyarakat pada masa hadapan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, institusi tahfiz dan pusat pengajian al-Quran memainkan peranan besar dalam melahirkan anak-anak yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu agama, malah menjadi insan membimbing keluarga serta masyarakat.

“Yuran pengajian yang dikenakan oleh sesetengah pusat tahfiz amat rendah dan tidak seharusnya dilihat sebagai nilai sebenar pengorbanan institusi berkenaan dalam mendidik anak-anak.

“Saya selalu ingatkan kepada sekolah-sekolah tahfiz, bukan semua orang terpilih untuk mendalami dan mengkaji ilmu agama. Sebab itu kita perlu menghargai usaha institusi yang memberi pendidikan kepada generasi muda.

“Anak-anak yang berada di pusat pengajian seperti ini amat bertuah kerana menerima didikan yang akan mengubah masa depan mereka, malah memberi manfaat kepada keluarga dan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di Teratak Pusat Pengajian Al-Quran Baitul Iman, Tangga Batu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut bersama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, asas pendidikan agama yang diterapkan sejak kecil akan menjadi benteng dalam membentuk jati diri anak-anak, selain melahirkan insan berilmu yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

“Wang ringgit boleh dicari, tetapi kasih sayang dan didikan yang baik sukar dicari. Sebab itu kita perlu memastikan anak-anak dibesarkan dengan asas agama yang kukuh,” katanya.

Pada lawatan itu, Ab Rauf turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada Pusat Tahfiz Madrasah Qamarul Huda Pantai Kundor, RM3,000 kepada Pusat Pengajian Al-Quran Baitul Iman dan RM2,000 kepada Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

670
Kongsi :
Previous post PORTAL DIGITAL TOK AJAK MUDAHKAN RAKYAT TELOK MAS
Next post MASALAH NELAYAN PANTAI KUNDOR AKAN DISELESAIKAN SATU PERSATU