Sorting by

×

WARGA MENARA TAMING SARI CUCI KERETA DEMI WARGA EMAS

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 20 Julai – Semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial terus dipupuk warga Menara Taming Sari apabila menganjurkan Program Cuci Kereta Amal dan Hari Usahawan bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada rumah jagaan warga emas.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, inisiatif itu mencerminkan nilai murni yang wajar dicontohi apabila kakitangan Menara Taming Sari berganding bahu menjayakan program kebajikan demi membantu golongan yang memerlukan.

Menurut beliau, program seumpama itu bukan sekadar mengumpul dana, malah turut memperkukuh semangat kekeluargaan dalam kalangan warga kerja syarikat.

“Saya dimaklumkan 100 peratus hasil daripada program ini akan dikumpulkan untuk disumbangkan kepada rumah jagaan warga emas.

“Atas semangat ingin menyumbang itulah, warga Menara Taming Sari bersama-sama berganding bahu mencuci kereta bagi mendapatkan sedikit sumbangan demi menjayakan program amal ini.

“Saya ucapkan tahniah atas kejayaan menganjurkan program seperti ini kerana ia bukan mengenai wang ringgit semata-mata, tetapi mencerminkan semangat kebersamaan sebagai satu keluarga besar Menara Taming Sari yang sentiasa prihatin dan sanggup berpenat lelah untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada program berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong turut mengajak orang ramai untuk terus menyokong Menara Taming Sari yang merupakan antara produk pelancongan ikonik dan mercu tanda utama di negeri Melaka.

“Jika berkunjung ke Melaka, jangan lepaskan peluang merasai sendiri pengalaman di Menara Taming Sari yang menjadi kebanggaan rakyat Melaka,” katanya.

Terdahulu, program cuci kereta itu hanya mengenakan bayaran RM10 sahaja kepada orang ramai, di mana ia berlangsung dari jam 10 pagi hingga 4 petang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

582
Kongsi :
Previous post REZEKI PANCING HARUAN 1.1KG, BAPA DUA ANAK BAWA PULANG RM10,000
Next post MELAKA TERUS DIYAKINI KOMUNITI PERNIAGAAN, PELABUR