
REZEKI PANCING HARUAN 1.1KG, BAPA DUA ANAK BAWA PULANG RM10,000
BANDARAYA MELAKA 20 Julai – Ikan haruan seberat 1.155 kilogram (kg) membawa tuah kepada seorang pekerja kilang apabila diumumkan sebagai juara Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar sempena Festival Sungai Melaka 2026 sekaligus membawa pulang wang tunai RM10,000.
Mohd Anuar Sabtu, 42, berkata, kemenangan itu adalah yang pertama diraihnya sepanjang lima tahun aktif menyertai pertandingan dan bergelar ‘kaki pancing’.
Dia yang menetap di Kampung Pasir Puteh, Bachang berkata,tahun lalu dia hanya menduduki tempat ketiga pada pertandingan sama dan tidak menyangka tahun ini tuah menyebelahinya.
“Memang tidak sangka akan bawa pulang RM10,000 kerana ikan berjaya dibawa naik di minit terakhir kira-kira jam 11.45 pagi. Dengan berat lebih satu kg ini adalah ikan terbesar saya pernah pancing di Sungai Melaka.
“Melihat saiz ikan itu saya yakin dapat menang tetapi tidak sangka diumumkan sebagai juara. Alhamdulillah, mungkin ini hadiah hari jadi yang akan diraikan tiga hari lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Malaysia Book Of Records (MBOR) Dan Hadiah Pemenang Sempena Festival Sungai Melaka 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Pengkalan Rama, pada Ahad.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris dan Pengarah Jabatan Pembangunan Perniagaan Dan Korporat PPSPM Khairunnisa Ibno Masooda.
Menurut bapa kepada dua anak itu, meskipun belum mempunyai sebarang perancangan kegunaan wang dimenangani itu pastinya sebahagian akan disimpan sebagai bekalan pada masa hadapan.
“Masih terkejut dengan kemenangan ini namun wang diperoleh akan dibelanja sebaiknya termasuk sebahagian akan digunakan untuk membeli peralatan memancing baharu.
“Jika berkesempatan pada tahun hadapan saya akan menyertai lagi Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar ini dan pastinya terima kasih kepada Kerajaan Negeri serta PPSPM kerana menganjurkan pertandingan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


