Sorting by

×

GOLF JADI PLATFORM PERKUKUH JARINGAN, TARIK PELABURAN KE MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER KEROH 20 Julai – Kejohanan Golf Melaka Industrial Networking 2026 bukan sekadar medan pertandingan sukan, sebaliknya menjadi platform strategik yang menghimpunkan kerajaan, pelabur dan pemain industri bagi memperkukuh jaringan kerjasama serta membuka peluang pelaburan baharu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran kejohanan itu membuktikan pendekatan jaringan tidak formal mampu menjadi pemangkin kepada kerjasama yang memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi Melaka.

Menurut beliau, suasana santai yang diwujudkan sepanjang kejohanan memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi, bertukar pandangan dan membina hubungan yang berpotensi diterjemahkan kepada pelaburan serta penciptaan peluang pekerjaan.

“Bagi saya, kejohanan ini membawa makna yang jauh lebih besar daripada sebuah pertandingan sukan. Di sinilah kita menghimpunkan kerajaan, pelabur, usahawan dan pemain industri dalam suasana yang lebih santai, mesra serta terbuka.

“Kadangkala idea yang besar tidak semestinya tercetus di dalam bilik mesyuarat, sebaliknya boleh bermula melalui perbualan ringkas di atas ‘fairway’, ketika menunggu giliran melakukan pukulan ataupun semasa duduk semeja selepas tamat permainan.

“Saya percaya daripada satu perkenalan ringkas boleh lahir sebuah kerjasama yang lebih erat, daripada satu perbincangan boleh terbuka peluang pelaburan dan daripada satu jaringan yang dibina hari ini, mampu mencipta ratusan peluang pekerjaan kepada rakyat pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Penutup Kejohanan Golf Melaka Industrial Networking 2026 di Ayer Keroh Country Club (AKCC), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Pengerusi AKCC Datuk Rahmad Mariman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCORP) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Kejohanan anjuran MCORP itu menghimpunkan 140 pemain golf terdiri daripada wakil agensi dan jabatan kerajaan negeri, pelabur, usahawan serta pemain industri.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata pembangunan ekonomi memerlukan perancangan yang teliti, hala tuju yang jelas serta keyakinan rakan strategik untuk bergerak seiring dengan aspirasi Kerajaan Negeri.

Katanya, sebagaimana permainan golf yang memerlukan ketepatan, strategi dan kesabaran, usaha menarik pelaburan juga memerlukan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor industri bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat.

“Saya berharap Kejohanan Golf Melaka Industrial Networking ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang bukan sahaja dinanti-nantikan oleh para peminat golf, malah dikenali sebagai platform strategik yang melahirkan kerjasama dan peluang ekonomi baharu untuk Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

766
Kongsi :
Previous post WRUR PANTAI KUNDOR: MAIM PROMOSI 13 PERKHIDMATAN BAITULMAL
Next post REZEKI PANCING HARUAN 1.1KG, BAPA DUA ANAK BAWA PULANG RM10,000