
WRUR PANTAI KUNDOR: MAIM PROMOSI 13 PERKHIDMATAN BAITULMAL
PANTAI KUNDOR 20 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus giat mempromosikan pelbagai perkhidmatan yang disediakan berkaitan hal ehwal Islam kepada rakyat di negeri ini.
Usaha itu turut digerakkan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di mana, MAIM mengambil peluang membuka kaunter perkhidmatan di setiap siri WRUR yang diadakan.
Bersempena WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor MAIM juga mengambil bahagian dengan membuka kaunter perkhidmatan di Pentas Budaya Pantai Puteri selama dua hari bermula semalam hingga hari ini.
MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan, menerusi program santunan rakyat itu, sebanyak 13 perkhidmatan Baitulmal dipromosikan kepada pengunjung, antaranya khidmat kiraan fidyah, faraid, kaffarah, Tabung Amal Jariah Negeri Melaka (TAJM).
“Selain itu, kaunter perkhidmatan yang dibuka juga mendedahkan cara berwakaf melalui MAIM, semakan bantuan agihan zakat serta pelbagai urusan lain yang berkaitan,” kata kenyataan itu.
Jelas MAIM, penyertaan agensi itu dalam WRUR bertujuan mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat selain memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan penerangan secara terus daripada pegawai bertugas.
Program WRUR DUN Pantai Kundor berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang di Pentas Budaya Pantai Puteri dengan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan yang menawarkan perkhidmatan secara terus kepada rakyat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


