Sorting by

×

JELAJAH KETUA MENTERI BAWA NIKMAT RM150,000 UNTUK WARGA PANTAI KUNDOR

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

PANTAI KUNDOR 20 Julai – Lebih 20 jenis bantuan dan sumbangan bernilai keseluruhan RM150,000 disalurkan kepada pelbagai lapisan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor menerusi Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat siri keenam.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, bantuan yang disalurkan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap keperluan rakyat diberikan perhatian menerusi pendekatan turun padang dan penyelesaian secara terus.

Ab Rauf berkata, sejajar dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), beliau mahu turun sendiri, mendengar dan menyelami perkara yang mungkin tidak tercatat dalam laporan atau yang belum pernah sampai ke meja pentadbiran beliau, selain memastikan keperluan rakyat diberi perhatian.

“Daripada satu persinggahan ke satu persinggahan, saya bertemu dengan pelbagai kisah kehidupan. Daripada setiap kisah yang saya dengar itu, ada satu perkara yang cukup jelas, rakyat tidak meminta bulan dan bintang, sebaliknya mereka hanya mahukan sebuah kerajaan yang benar-benar hadir ketika mereka memerlukan.

“Itulah yang mendorong saya menggerakkan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat sebagai amanah dan tanggungjawab saya sendiri. Apa yang rakyat suarakan, kita sambut dengan ikhtiar dan kita susuli dengan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita DUN Pantai Kundor di Pentas Budaya Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, antara bantuan yang disampaikan sepanjang jelajah itu ialah sumbangan berjumlah RM22,000 kepada 220 nelayan, selain bantuan RM1,500 kepada lima pemilik bot yang terjejas akibat kejadian bot karam.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menyampaikan peralatan perniagaan bernilai RM14,000 kepada 10 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), selain bantuan kepada institusi pendidikan agama termasuk Pusat Pengajian Al-Quran Baitul Iman, dua pusat tahfiz dan sebuah rumah anak yatim.

Beliau berkata, sebanyak RM5,000 turut diperuntukkan bagi membantu pembinaan Pusat Pengajian Kompleks Al-Quran Darul Jannah, manakala lapan anak Pantai Kundor menerima bantuan komputer riba bernilai RM16,000 bagi menyokong pembelajaran mereka.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri juga menyalurkan RM28,000 kepada 14 rumah ibadat melibatkan sembilan masjid, tiga tokong dan dua gereja, selain memperuntukkan RM25,000 bagi kerja-kerja membaik pulih lima rumah penduduk.

“Bantuan ini bukan sekadar angka, tetapi bukti komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyantuni dan membantu rakyat tanpa mengira latar belakang. Selagi rakyat memerlukan, selagi itulah kita akan terus turun padang bagi memastikan setiap keperluan mereka diberikan perhatian dan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

372
Kongsi :
Previous post LEBIH 200 PROGRAM SENTUH KEHIDUPAN RAKYAT DI PARLIMEN TANGGA BATU
Next post RM16.15 JUTA IKHTIAR ATASI BANJIR PANTAI KUNDOR