Sorting by

×

LEBIH 200 PROGRAM SENTUH KEHIDUPAN RAKYAT DI PARLIMEN TANGGA BATU

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

PANTAI KUNDOR 20 Julai – Lebih 200 program akan dilaksanakan sepanjang tiga minggu Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita yang berlangsung dari 19 Julai hingga 8 Ogos depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan itu membabitkan dua fasa terakhir WRUR di Parlimen Tangga Batu iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor yang berlangsung dari 19 hingga 25 Julai di bawah pimpinan Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim, diikuti DUN Paya Rumput dari 26 Julai hingga 8 Ogos di bawah pimpinan Datuk Rais Yasin.

Menurut beliau, pelaksanaan itu sekali gus melengkapkan siri WRUR di keempat-empat DUN dalam Parlimen Tangga Batu selepas ia terlebih dahulu diadakan di DUN Sungai Udang dan DUN Klebang.

“Sepanjang tiga minggu Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat di Parlimen Tangga Batu ini, dijangka lebih 200 program akan digerakkan dengan pelbagai pengisian yang menyentuh setiap lapisan masyarakat, daripada aspek kebajikan, pembangunan komuniti dan pendidikan hinggalah kepada belia, usahawan serta penyelesaian isu-isu setempat.

“Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat bukanlah program yang baharu diperkenalkan atau gerak kerja bermusim. Inilah kesinambungan kepada pendekatan turun padang yang telah kita laksanakan secara konsisten sejak dua tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program WRUR Parlimen Tangga Batu: Kampung Kita DUN Pantai Kundor di Pentas Budaya Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Program WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, keberkesanan program WRUR dapat dilihat menerusi pencapaiannya sepanjang 23 siri pelaksanaan sebelum ini apabila lebih 4,000 aduan rakyat diterima, dengan hampir 70 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.

Katanya, di Parlimen Tangga Batu sahaja, pelaksanaan WRUR di DUN Sungai Udang dan DUN Klebang sebelum ini telah menerima sebanyak 359 aduan, dengan 328 daripadanya berjaya diselesaikan, manakala baki 31 aduan kini dalam tindakan susulan.

“Bagi saya, di sebalik setiap aduan ini ada rakyat yang sedang berdepan kesukaran, ada keluarga yang menanti pembelaan dan ada lebih 200,000 warga Tangga Batu yang menaruh harapan untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Sebab itu, selagi masih ada suara dari Pantai Kundor yang menanti jawapan, selagi ada satu aduan yang belum menemukan penyelesaian, selagi itulah pentadbiran ini tidak akan berdiam diri. Inilah tujuan utama WRUR iaitu meruntuhkan tembok birokrasi dan menghapuskan jurang antara kerajaan dengan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

410
Kongsi :
Previous post TOK RAUF DATANG BAWA BERITA GEMBIRA, RUMAH UZUR PESAKIT POLIO BAKAL DIBAIK PULIH
Next post JELAJAH KETUA MENTERI BAWA NIKMAT RM150,000 UNTUK WARGA PANTAI KUNDOR