Sorting by

×

TOK RAUF DATANG BAWA BERITA GEMBIRA, RUMAH UZUR PESAKIT POLIO BAKAL DIBAIK PULIH

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PANTAI KUNDOR 20 Julai – Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat membawa sinar baharu kepada seorang pesakit polio apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh meluluskan peruntukan RM20,000 bagi membaik pulih rumah pusaka berusia lebih enam dekad yang didiaminya.

Peruntukan di bawah Program Melaka Rumahku yang diselaraskan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) itu diumumkan Ab Rauf ketika menziarahi Anthony Lim, 60, di Kampung Gelam sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat siri keenam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.

Rumah didiami tiga generasi itu sebelum ini mengalami kerosakan serius apabila sebahagian struktur rumah dimamah anai-anai selain bumbung yang bocor sehingga menjejaskan keselesaan tiga penghuni rumah itu.

Menurut Ketua Menteri, peruntukan itu menjadi lambang gagasan Melaka Sayang Rakyat yang terus komited membela nasib rakyat memerlukan di negeri ini.

“Melalui Program Melaka Rumahku kita luluskan peruntukan RM20,000 untuk kerja-kerja baik pulih supaya Anthony dan keluarga dapat tinggal dalam keadaan lebih selesa dan selamat.

“Inilah tanda kasih sayang Kerajaan Negeri kepada rakyat, khususnya mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya ketika mengadakan ziarah ke kediaman warga emas itu di Kampung Gelam, di sini, hari ini.

Turut bersama, Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Selain peruntukan baik pulih rumah, Ab Rauf turut menyampaikan sebuah kerusi roda, tongkat, kit makanan serta sumbangan wang tunai kepada Anthony dan keluarganya.

Pada program sama, Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan kit makanan kepada 10 penduduk Kampung Gelam yang terpilih bagi membantu meringankan beban mereka.

Tidak ketinggalan, dua buah basikal turut disumbangkan kepada penduduk kampung sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post MASALAH NELAYAN PANTAI KUNDOR AKAN DISELESAIKAN SATU PERSATU
Next post LEBIH 200 PROGRAM SENTUH KEHIDUPAN RAKYAT DI PARLIMEN TANGGA BATU