E-MEL RAKYAT LENGKAPKAN EKOSISTEM MELAKA PINTAR

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 23 Julai – Inisiatif E-Mel Rakyat bakal melengkapkan ekosistem transformasi digital Melaka bersama pelaksanaan Kampung Digital dan Kubur Digital, sekali gus merealisasikan aspirasi Melaka Pintar.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam berkata, ketiga-tiga inisiatif itu saling berkait bagi membentuk sebuah ekosistem digital menyeluruh di negeri ini.

Katanya, pembangunan digital bukan hanya tertumpu kepada kemudahan teknologi malah melibatkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri yang lebih cekap kepada rakyat.

“E-Mel Rakyat akan menjadi identiti digital yang memudahkan rakyat berurusan dengan Kerajaan Negeri pada masa hadapan.

“Ini semua bersangkut paut kerana kita mahu memastikan Melaka mencapai status negeri digital pertama di Malaysia,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian E-Mel Rakyat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Digital negeri Mahanum Daim; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi Melakaku Maju Jaya 2035 yang memberi penekanan terhadap transformasi digital.

“Selepas ini ada lebih banyak inisiatif digital yang akan diperkenalkan secara berperingkat bagi memperkukuh pembangunan negeri.

“Kerajaan Negeri yakin pendekatan bersepadu ini akan mempercepat usaha menjadikan Melaka peneraju pendigitalan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

808
Kongsi :
Previous post E-MEL RAKYAT JADI IDENTITI DIGITAL MELAKA
Next post PPSPM CIPTA REKOD KUIH KERIA TERBANYAK, KONDA KONDI TERBESAR