
E-MEL RAKYAT PLATFORM PENGHUBUNG SEKOLAH, MURID DAN IBU BAPA
AYER KEROH 24 Julai – Inisiatif E-Mel Rakyat oleh Kerajaan Negeri disambut baik oleh warga pendidik kerana platform itu dilihat mampu meningkatkan tahap kecekapan pengurusan, sekali gus memperkukuh agenda pendigitalan sektor berkenaan.
Pelaksanaan inisiatif E-Mel Rakyat menggunakan domain @melaka.my juga bertepatan dengan keperluan semasa yang menyaksikan penggunaan teknologi digital semakin meluas dalam pelbagai aspek termasuk bidang pendidikan, penyampaian perkhidmatan serta maklumat.
Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Lintang, S Krishanan berkata, pelaksanaan inisiatif itu merupakan langkah yang amat baik dalam memperkasakan pendigitalan perkhidmatan kepada rakyat selain dapat meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat.
“Inisiatif E-Mel Rakyat ini amat baik sebagai medium penghubung antara sekolah dan ibu bapa khususnya dalam penyampaian maklumat berkaitan murid. Melalui platform ini, penyelarasan maklumat menjadi lebih mudah kerana ibu bapa akan menerima setiap maklumat termasuk informasi secara lebih terperinci.
“Selain itu juga, kami di pihak pentadbiran sekolah juga dapat mengakses sebarang maklumat daripada pihak jabatan atau Kerajaan Negeri lebih cepat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian E-Mel Rakyat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Digital negeri Mahanum Daim; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta kenamaan lain.
Krishanan yang juga Pengerusi Sekolah Tamil Negeri Melaka berkata, kesemua 15 guru di sekolahnya telah selesai mendaftar E-Mel Rakyat manakala proses pendaftaran murid kini mencapai 60 peratus.
Sementara itu, bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Malim, Azlan Abd Hamid berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, atas pelaksanaan inisiatif berkenaan yang disifatkan mampu mempertingkatkan kecekapan penyampaian maklumat kepada warga sekolah.
“Daripada segi pentadbiran inisiatif ini akan memperkasakan lagi penyampaian maklumat daripada pihak sekolah kepada ibu bapa terutamanya.
“Ibu bapa akan mengetahui sebarang perkembangan dan maklumat anak mereka menerusi E-Mel Rakyat ini, meskipun pada peringkat awal pelaksanaan ini ia berdepan sedikit cabaran,” katanya.
Jelas guru berkenaan, pihaknya akan memastikan semua guru memainkan peranan bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri dengan membantu ibu bapa dalam membuat pendaftaran bagi menjayakan inisiatif tersebut.
“Untuk guru SK Malim, kami kini telah selesai mendaftar E-Mel Rakyat selepas ini pihak sekolah akan meneruskan proses pendaftaran murid seterusnya ibu bapa dalam masa terdekat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


