
MELAKA SASAR 250,000 PENGGUNA E-MEL RAKYAT TAHUN INI
AYER KEROH 24 Julai – Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 250,000 rakyat Melaka mendaftar E-Mel Rakyat menggunakan domain @melaka.my menjelang akhir tahun ini sebagai usaha memperkukuh identiti digital rakyat dan mempercepat agenda transformasi digital negeri.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam berkata, sasaran itu optimis dapat direalisasikan menerusi kerjasama semua pihak dan diyakini mampu dicapai memandangkan sambutan terhadap inisiatif tersebut semakin menggalakkan sejak diperkenalkan.
Katanya, meskipun pelancarannya baru sahaja diadakan namun proses pendaftaran sebenarnya telah dibuka lebih awal dan kini boleh diakses oleh orang ramai melalui portal domain @Melaka.my.
“E-Mel Rakyat boleh digunakan secara percuma sama ada bagi urusan rasmi mahupun kegunaan peribadi.
“Selain menjadi identiti digital rakyat Melaka, e-mel ini juga akan digunakan sebagai saluran rasmi Kerajaan Negeri untuk menyampaikan maklumat dasar dan pelbagai program kepada rakyat,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian E-Mel Rakyat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Digital negeri Mahanum Daim; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam turut menyarankan pengamal media di negeri ini yang masih belum memiliki E-Mel Rakyat agar berbuat demikian sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif digital Kerajaan Negeri.
“Inisiatif ini antara langkah penting dalam membina ekosistem digital yang lebih tersusun di Melaka, lebih ramai mendaftar lebih bagus,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


