MELAKA KOMITED CAPAI SASARAN 300 MEGAWATT TENAGA BOLEH BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

GADEK 24 Julai – Melaka mencatatkan perkembangan positif dalam usaha mencapai kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 300 Megawatt (MW), kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, hasil perancangan dan kerjasama daripada pelbagai pihak kapasiti semasa tenaga boleh baharu di Melaka ketika ini adalah sebanyak 200 MW atau sudah mencapai 70 peratus sasaran yang ditetapkan.

Katanya, pemerkasaan sumber tenaga boleh baharu adalah antara fokus termasuk dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 dengan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) memainkan peranan penting kearah merealisasikan hasrat tersebut.

“Momentum amat positif ini sebenarnya dipacu oleh pembangunan ladang solar berskala besar, Skim Solar Perumahan Melaka (SolarMEL), pemasangan panel solar pada bumbung bangunan, penyediaan lebih banyak infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan pelbagai lagi insiatif hijau dilaksanakan seluruh negeri ini.

“Ketika ini juga sedang berlangsung Projek Ladang Solar Terapung Hibrid Berkapasiti 90 megawatt alternating current (MWac) di Empangan Jus dijadualkan siap pada hujung 2027. Apabila beroperasi kelak kemudahan ini mampu menghasilkan sehingga 206 gigawatt jam (GWj) tenaga elektrik boleh baharu setahun yang dianggarkan cukup untuk menampung kegunaan 35,000 kediaman,” katanya Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Solar Photovoltaic (PV) Honda Malaysia di Honda Malaysia Sdn Bhd, Kawasan Perundustrian Hicom, Pegoh, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Yang turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn Bhd Narushi Yazaki; Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sdn Bhd Ir Sarly. Adle Sarkum serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, pemerkasaan aspek sumber tenaga boleh baharu juga bakal membawa banyak faedah kepada negeri ini dalam pelbagai bentuk seperti memperkukuh dan menjadikan sektor industri lebih kompetitif, mengurangkan kadar pelepasan karbon dan menjana peluang ekonomi baharu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

771
Kongsi :
Previous post PPSPM SASAR 9,000 MURID SERTAI LAWATAN PENDIDIKAN MELAKA RIVER CRUISE
Next post PERALIHAN KEPADA TENAGA BOLEH BAHARU JADIKAN MELAKA NEGERI LESTARI