
ZOO MELAKA TAMPIL DENGAN IMEJ BAHARU, LEBIH MODEN DAN MESRA PENGUNJUNG
AYER KEROH 26 Julai – Zoo Melaka kini tampil dengan wajah baharu yang lebih moden, ceria dan mesra pengunjung menerusi pelbagai penambahbaikan fasiliti serta penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan pengalaman pelawat.
Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh berkata, transformasi itu melibatkan pembinaan semula pintu gerbang utama dengan reka bentuk baharu, kaunter tiket yang lebih moden, penyediaan kiosk pembayaran sendiri serta pemasangan pintu masuk automatik menggunakan teknologi kod QR.
Menurut beliau, penambahbaikan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuhkan kedudukan Zoo Melaka sebagai antara destinasi pelancongan utama di negeri ini.
“Kedudukan Zoo Melaka yang berhampiran pintu masuk Melaka dari Ayer Keroh memberikan kelebihan kepada kami untuk memperkenalkan imej baharu menerusi pintu gerbang utama yang lebih menarik.
“Reka bentuk baharu itu diwujudkan bagi memberi suasana lebih ceria dan segar kepada pengunjung, sekali gus menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Zoo Melaka.
“Konsep yang diketengahkan berinspirasikan safari dan ‘zoo in wildlife’ yang mengetengahkan elemen alam semula jadi, sekali gus memberikan identiti baharu kepada Zoo Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengiringi lawatan kerja Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ke Zoo Melaka, di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ahmad Azlan berkata, kaunter tiket baharu dibina dengan ruang yang lebih luas dan selesa serta dilengkapi kemudahan teknologi bagi mempercepatkan urusan pembelian tiket dan kemasukan pengunjung.
Katanya, Zoo Melaka turut membangunkan sistem e-tiket yang akan diintegrasikan dengan Melaka SuperApp, sekali gus membolehkan pengunjung membeli tiket secara dalam talian sebelum mengimbas kod QR di pintu masuk automatik.
“Sebelum ini pengunjung perlu beratur di kaunter untuk membeli tiket dan memasuki zoo. Kini mereka hanya perlu membuat pembelian terlebih dahulu dan mengimbas kod QR di pintu masuk automatik.
“Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses kemasukan, malah mengurangkan masa menunggu serta mengelakkan kekeliruan yang sering berlaku menerusi kaedah manual sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan teknologi digital itu selari dengan hasrat menjadikan Zoo Melaka sebagai destinasi pelancongan yang lebih efisien, moden dan mesra pengguna, di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelawat tempatan serta pelancong dari luar negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


