MELAKA AGROFEST 2026 SASAR JUALAN RM1.6 JUTA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 26 Julai – Melaka Agrofest 2026 menyasarkan nilai jualan RM1.6 juta, dengan jumlah pengunjung seramai 50,000 orang sepanjang tiga hari penganjurannya.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, program berlangsung 24 hingga 26 Julai itu merupakan acara tahunan dianjurkan Kerajaan Negeri sebagai platform menghimpunkan peladang, penternak, nelayan dan usahawan tani seluruh negeri.

Jelas beliau, ia juga menjadi medan bagi mempromosikan hasil pertanian serta produk agromakanan tempatan kepada rakyat dan pelancong.

“Melaka Agrofest bukan sekadar festival pertanian, sebaliknya medan untuk kita meraikan peladang, penternak, nelayan dan usahawan tani yang menjadi tulang belakang sektor agromakanan negeri.

“Kita menghimpunkan mereka di sini supaya hasil dan produk tempatan dapat dipromosikan kepada seluruh rakyat Melaka serta pelancong yang datang ke negeri ini dengan pelbagai tarikan disediakan sepanjang tiga hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Melaka Agrofest 2026 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli; Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib; Pengarah Perikanan Negeri Melaka Saufi Affandi Talib; Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka Nor Azhar Abdul Hamid serta lain-lain kenamaan.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, antara tarikan yang disediakan pada festival itu adalah pameran ternakan lembu sado, hasil perikanan, produk pertanian serta jualan usahawan tempatan yang memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman dunia pertanian.

Selain itu, ujar beliau turut diadakan program Melaka Berselawat, Malam Cinta Nur Kasih yang menampilkan kumpulan nasyid terkenal UNIC dan INTEAM, Karnival myAgropreneur Perikanan, agihan jagung dan nanas percuma serta pelbagai pengisian lain.

“Di sini mereka boleh melihat sendiri kekayaan hasil pertanian, penternakan dan perikanan negeri ini. Walaupun Melaka sebuah negeri yang kecil, kita mempunyai pelbagai hasil tani yang berkualiti dan inilah platform terbaik untuk kita memperkenalkannya kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

472
Kongsi :
Previous post ZOO MELAKA TAMPIL DENGAN IMEJ BAHARU, LEBIH MODEN DAN MESRA PENGUNJUNG