
ERA BAHARU PENGURUSAN SISA, SWM ENVIRONMENT TERAP TEKNOLOGI PINTAR
AYER KEROH 26 Julai – Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri ini telah memasuki era baharu apabila SWM Environment Sdn Bhd memperkukuhkan operasi menerusi penggunaan teknologi pintar, pendigitalan serta aset kenderaan elektrik (EV) bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, transformasi itu bukan sekadar membabitkan penggunaan teknologi terkini, malah menjadi sebahagian daripada usaha menyokong aspirasi pembangunan bandar pintar, rendah karbon serta memastikan pengurusan sisa pepejal dilaksanakan secara lebih sistematik, mampan dan memenuhi keperluan masyarakat yang semakin berkembang.
Katanya, antara pembaharuan terbesar yang dilaksanakan ialah pendigitalan operasi menerusi sistem pemantauan masa nyata (real-time monitoring) yang membolehkan setiap pergerakan aset, prestasi kutipan sisa pepejal dan kerja-kerja pembersihan awam dipantau secara berterusan.
“Penggunaan sistem ini membolehkan penyelarasan operasi dilakukan dengan lebih pantas sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan selain memastikan kutipan sisa dan kerja pembersihan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
“SWM Environment turut memperluaskan penggunaan teknologi hijau menerusi pengoperasian motosikal elektrik roda tiga (EV Side-Car) di beberapa kawasan pelancongan sebagai langkah mengurangkan pelepasan karbon serta meningkatkan produktiviti pasukan pembersihan,” katanya ketika bersiaran di Podcast Mana Lagi Melaka Ler di Studio Melaka TV.
Menurut Mohd Norlisam, pihaknya turut mengadaptasi teknologi moden bagi memperkasakan ekonomi kitaran melalui Program KITARecycle yang menggalakkan orang ramai mengasingkan sisa di punca menerusi sistem ganjaran digital, sekali gus membudayakan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian masyarakat.
Jelasnya, bagi memastikan transformasi itu memberi impak lebih menyeluruh SWM Environment terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pendidikan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat dalam menjayakan pelbagai program kesedaran berkaitan kelestarian alam sekitar.
“Pendekatan yang menggabungkan teknologi, inovasi dan kerjasama semua pihak diyakini mampu melonjakkan mutu pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam, sekali gus menyokong usaha menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang lebih bersih, hijau, mampan dan berdaya huni untuk generasi akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

