MELAKA PELAWA PETANI USAHA TANAH TERBIAR, LPS PERCUMA SETAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 26 Julai – Kerajaan Negeri memberi galakan kepada lebih ramai petani dan usahawan tani memanfaatkan tanah-tanah kerajaan yang terbiar untuk aktiviti pertanian dengan menawarkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) secara percuma selama setahun.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan penyertaan lebih ramai rakyat dalam sektor pertanian selain memastikan tanah kerajaan yang tidak diusahakan dapat dimanfaatkan secara produktif.

Menurut beliau, mana-mana individu yang berminat mengusahakan sektor pertanian boleh mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri untuk mendapatkan LPS bagi tanah yang dikenal pasti terbiar.

“Kepada mana-mana petani yang berminat mengusahakan sektor pertanian dan melihat terdapat tanah kerajaan yang terbiar di kawasan mereka, bolehlah mengemukakan permohonan kepada kita.

“Bermula April tahun ini, kita memberikan LPS secara percuma selama setahun bagi menggalakkan lebih ramai menceburi bidang pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Melaka Agrofest 2026 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli; Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib; Pengarah Perikanan Negeri Melaka Saufi Affandi Talib; Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka Nor Azhar Abdul Hamid serta lain-lain kenamaan.

Dr. Muhamad Akmal berkata, setakat ini Kerajaan Negeri menanggung kira-kira RM100,000 bagi pengecualian bayaran LPS membabitkan petani atau penternak yang memanfaatkan tanah terbiar kerajaan.

Selain pengecualian bayaran LPS, beliau berkata, pemohon juga digalakkan mendaftar dengan Jabatan Pertanian bagi membolehkan mereka menerima bimbingan dan sokongan secara menyeluruh dan seterusnya memberi pulangan kepada pengusaha.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

518
Kongsi :
Previous post ERA BAHARU PENGURUSAN SISA, SWM ENVIRONMENT TERAP TEKNOLOGI PINTAR
Next post WRUR PANTAI KUNDOR: KOMBeD PERKASA KOMUNITI CEGAH DENGGI