
MOMENTUM BAHARU BINA MELAKA LEBIH CEMERLANG
PAYA RUMPUT 27 Julai – Kerajaan Negeri terus memperkukuh pendekatan turun padang menerusi siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat bagi memastikan setiap dasar yang digubal benar-benar berpaksikan keperluan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif jelajah itu bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang sudah memasuki tahun kedua pelaksanaannya.
Jelas beliau, kedua-dua inisiatif itu bukan sekadar platform bertemu rakyat, malah menjadi medan kerajaan mendapatkan pandangan, cadangan dan maklum balas secara langsung bagi menambah baik dasar serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Melaka.
Selain itu, beliau berkaya, pendekatan itu juga membolehkan kerajaan mengenal pasti sendiri masalah di lapangan termasuk keperluan membina atau membaik pulih rumah golongan yang memerlukan.
“Apabila kita turun padang, kita dapat melihat sendiri siapa yang memerlukan bantuan. Jika ada rakyat yang memerlukan rumah dibina atau dibaik pulih, kita akan cari peruntukan dan bajet supaya kebajikan mereka terus terbela. Itulah tanggungjawab kerajaan.
“Apabila berlaku banjir, kita turun. Apabila rakyat sakit, kita pergi menziarahi mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Sarapan Pagi Bersama Ahli Kariah dan Penyampaian Sumbangan Tunai Kepada Pegawai Syarak dan Penggali Kubur Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput di Masjid An-Nur Kampung Krubong, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, kedua-dua inisiatif itu disifatkan telah mewujudkan satu momentum baharu dalam pentadbiran negeri yang lebih responsif, inklusif dan berpaksikan rakyat, seterusnya membina Melaka yang lebih cemerlang.
“Inilah kerajaan negeri pertama di Malaysia yang mengambil inisiatif turun padang melihat, mendengar dan menerima pandangan rakyat mengenai apa yang mereka perlukan.
“Dengan semangat kebersamaan antara kerajaan dan rakyat, kita akan terus membina Melaka yang lebih cemerlang demi kesejahteraan serta masa depan generasi akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


