
MEDIA KOTA DUMAI-MELAKA HARI INI KONGSI KEPAKARAN, TEROKA PELUANG KERJASAMA
AYER KEROH 27 Julai – Hubungan organisasi media berpusat di Kota Dumai, Indonesia dan Melaka Hari Ini (MHI) berpotensi untuk dikembangkan lagi melibatkan aspek perkongsian kepakaran, pertukaran bahan berita dan liputan rentas sempadan.
Perkara itu menjadi topik perbincangan utama pada sesi kunjung hormat antara wakil Media Bersama Jaya (MBJ) dan pihak pengurusan MHI berlangsung di Pejabat Melaka Hari Ini Sdn Bhd (MHISB) di sini, hari ini.
Perbincangan melibatkan Ketua Umum MBJ Hendry. D, Ketua Dewan Pembina MBJ Ridwan Safri dan Sekretariat MBJ Safriwan Nasution, manakala MHISB pula diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Nasharuddin Muhammad.
Hendry berkata, antara perkara yang paling menarik perhatian pihaknya adalah berhubung perkongsian kepakaran MHI dalam menerbitkan akhbar bercetak.
“Perjumpaan ini amat membuka minda kami, akhbar MHI kelihatan segar, susun atur sangat bagus dan kemas, semua ini bagi saya amat membantu dalam mempengaruhi pengiklan untuk menggunakan medium bercetak bagi mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka.
“Bagi ruangan berbayar pula, logo pengiklan menjadi pelengkap kepada artikel dan gambar pada muka surat berkenaan, susun atur seperti ini amat berguna dan mungkin boleh diterapkan dalam proses penerbitan akhbar kami nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, MHI dipilih kerana Melaka adalah destinasi yang tidak asing dalam kalangan penduduk di Wilayah Riau dan Kepulauan Sumatera, malah aspek seni, budaya, makanan serta tradisi juga tidak jauh berbeza.
“Contoh sejak sekian lama ramai penduduk dari Wilayah Riau ke Melaka untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan, mungkin kunjung hormat kali ini boleh menjadi permulaan untuk kedua-dua belah pihak meneroka peluang kerjasama lebih strategik pada masa akan datang, khususnya melibatkan sektor pelancongan kesihatan.
“Kami juga berkongsi mengenai kaedah mendepani cabaran semasa dihadapi syarikat media kesan daripada perkembangan dunia digital yang amat pesat dan pantas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

