SIRI JELAJAH BAWA KETUA MENTERI MASUK KE DALAM KEHIDUPAN RAKYAT

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

PAYA RUMPUT 27 Julai – Siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat menjadi pendekatan istimewa Kerajaan Negeri untuk membawa Ketua Menteri lebih dekat dengan rakyat apabila beliau sendiri turun padang menyelami kehidupan masyarakat, mendengar keluhan serta melihat sendiri realiti yang dihadapi penduduk di setiap kawasan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program itu bukan sekadar lawatan rasmi, sebaliknya platform penting untuk beliau memahami kehidupan rakyat yang kadangkala tidak dapat digambarkan hanya melalui laporan di meja pentadbiran.

Menurut beliau, jelajah itu telah memasuki siri ke-7 dengan yang terbaharu menjelajah ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput bagi meninjau sendiri kehidupan rakyat dan mengambil tindakan segera terhadap perkara yang memerlukan perhatian.

“Program ini cukup dekat di hati saya kerana di sinilah saya dapat turun sendiri bertemu warga DUN Paya Rumput, mendengar kisah tuan-tuan dan puan-puan serta melihat realiti kehidupan yang kadangkala tidak pernah sampai ke meja pentadbiran saya.

“Apabila kita turun padang, kita bukan sekadar mendengar aduan, tetapi memahami kehidupan rakyat, menyantuni mereka yang memerlukan dan melihat sendiri apa yang boleh diselesaikan dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Paya Rumput di Kompleks As-Solihin, Kampung Paya Rumput, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Program WRUR dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat saling melengkapi dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih berkesan kepada rakyat.

Katanya, jika WRUR menggerakkan seluruh jentera kerajaan untuk meneliti aduan, menyelaras tindakan dan mencari penyelesaian, siri jelajah pula membolehkan beliau sendiri turun ke lapangan bagi mendengar suara rakyat secara terus.

Jelas beliau, meskipun kedua-dua inisiatif itu berbeza dari segi pendekatan, matlamatnya tetap sama iaitu memastikan setiap suara rakyat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat.

“Ini dua pendekatan yang berbeza, tetapi bergerak dengan satu tekad yang sama, iaitu memastikan setiap suara rakyat tidak terhenti sebagai keluhan semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan dan jalan penyelesaian,” katanya.

Pada masa sama, Ab Rauf merakamkan penghargaan kepada Adun Paya Rumput, di atas komitmen beliau membawa setiap isu dan keperluan rakyat ke perhatian Kerajaan Negeri.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Haji Rais atas komitmen dan kesungguhan beliau membawa setiap suara, keresahan dan harapan keluarga besar Paya Rumput terus ke perhatian kerajaan.

“Kerjasama erat seperti inilah yang membolehkan lebih banyak masalah rakyat diselesaikan dengan pantas dan berkesan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

280
Kongsi :
Previous post MEDIA KOTA DUMAI-MELAKA HARI INI KONGSI KEPAKARAN, TEROKA PELUANG KERJASAMA
Next post ‘TIADA BANTUAN TERLALU KECIL, TIADA MASALAH RAKYAT DIANGGAP REMEH’