PRN MELAKA: ‘AH SEM’ CALON NOMBOR 1 DUN MACHAP JAYA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

MACHAP JAYA 31 Oktober – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem atau lebih dikenali sebagai ‘Ah Sem’ menjadi calon nombor 1 bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Mewakili Barisan Nasional (BN), beliau akan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ginie Lim Siew Lin dan calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), B. Prasanth Kumar.

Menerusi perkongsian di media sosial, Ah Sem memohon sokongan dan kepercayaan pengundi untuk terus memberikan mandat kepadanya bagi mewakili penduduk DUN Machap Jaya.

“Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan anda,” katanya selepas selesai proses penamaan calon bagi kerusi N.08 Machap Jaya, hari ini.

Istimewanya persaingan kali ini turut menemukan semula dua bekas wakil rakyat kawasan berkenaan iaitu Hee Sem dan Ginie yang pernah memenangi kerusi itu masing-masing pada pilihan raya negeri 2021 dan 2018.

Pada PRN Melaka 2021, Hee Sem memenangi DUN Machap Jaya dengan memperoleh 3,732 undi, menewaskan calon PH, Law Bing Haw yang mendapat 2,794 undi dengan majoriti 938 undi.

Tiga lagi calon yang bertanding ketika itu ialah Abdul Aziz daripada Parti Iman (IMAN), Azlan Daud (Bebas) dan Tai Siong Jiul (Perikatan Nasional).

Ginie pula pernah memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 dengan majoriti 1,336 undi.

PRN Melaka Ke-16 menyaksikan hari pengundian awal ditetapkan pada 10 November, manakala hari pengundian berlangsung pada 14 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

365
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BILIK GERAKAN SPRM BEROPERASI 24 JAM