PRN MELAKA: RAIS AKAN BENTANG AKU JANJI UNTUK RAKYAT SUNGAI UDANG

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SUNGAI UDANG 31 Oktober – Datuk Rais Yasin akan mengemukakan tawaran khusus kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang selepas sah menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Jelas beliau, aku janji itu akan diumumkan dalam masa terdekat selepas manifesto BN Melaka dibentangkan.

“Insya-Allah, kita tunggu manifesto Barisan Nasional Negeri dulu. Selepas itu, kita akan ada satu aku janji saya kepada rakyat Sungai Udang itu sendiri, insya-Allah. Nantikan,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Bilik Gerakan Utama BN Sungai Udang di Bandar Baru Sungai Udang, di sini, hari ini.

Pada proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Akademi Latihan RELA Malaysia (ALARM), Rais diiringi Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Azian Osman serta lain-lain kenamaan.

Rais diumumkan sebagai calon nombor tiga bagi DUN Sungai Udang oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Anis Ali Hassan selepas proses penamaan calon dan pengundian nombor calon selesai dijalankan.

Bekas penyandang kerusi DUN Paya Rumput itu bakal berdepan saingan dua pencabar iaitu Mejar (B) Abdullah Mahadi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Mohd Ridzuan Abdul Rahman daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), sekali gus menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Pada PRN Melaka 2021, kerusi DUN Sungai Udang dimenangi calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd Aleef Yusof dengan memperoleh 6,789 undi dan majoriti 530 undi.

Beliau menewaskan calon BN, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang memperoleh 6,259 undi, calon Pakatan Harapan (PH), Hasmorni Tamby dengan 2,035 undi serta calon Bebas, Mohd Zahar Hashim yang mendapat 471 undi.

PRN Melaka Ke-16 menyaksikan tempoh berkempen berlangsung selama 14 hari bermula hari ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

327
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: DR. AKMAL TIDAK KEJAR MAJORITI BESAR, UTAMAKAN KEPERCAYAAN RAKYAT
Next post PRN MELAKA: ORANG MERLIMAU DAPAT BEZAKAN KACA DAN PERMATA – ONN HAFIZ