PRA-TAHFIZ KEMAS PERKUKUH HAFAZAN AL-QURAN SEJAK USIA DINI – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER LIMAU 31 Oktober – Pelaksanaan Program Pra-Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) membuka ruang kepada lebih 125,000 kanak-kanak yang mengikuti pendidikan awal jabatan itu untuk menguasai hafazan al-Quran, khususnya ayat-ayat dalam juzuk 30.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada perkembangan pendidikan rohani kanak-kanak, malah turut meningkatkan penguasaan hafazan dalam kalangan guru KEMAS.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan pendidikan al-Quran diterapkan sejak usia dini, sekali gus membantu melahirkan generasi yang seimbang dari aspek pembangunan duniawi dan ukhrawi.

“Apabila pra-tahfiz telah diperkenalkan, lebih daripada 125,000 anak-anak yang masuk tadika ini mula menghafal ayat-ayat dalam juzuk 30.

“Apabila ini dapat dan telah diperkenalkan, ada dua faedah, bukan sahaja anak-anak itu hafal al-Quran, guru-guru KEMAS juga terpaksa hafal.

“Bagaimana anak-anak kecil kita hafal kalau guru dia tidak hafal?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GeMMa Desa) Negeri Melaka 2026 di Dewan FELCRA Berhad Ramuan China, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap calon BN kerusi DUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa guru-guru KEMAS telah menguasai hafazan ayat-ayat dalam juzuk 30 selain beberapa surah penting termasuk Ar-Rahman, Al-Waqiah, Yasin dan As-Sajdah.

Malah, beliau turut memuji kebolehan seorang kanak-kanak yang memperdengarkan hafazan ayat satu hingga 13 surah Ar-Rahman pada majlis berkenaan sebagai antara contoh hasil pendidikan awal al-Quran.

Katanya, usaha memperkukuh pendidikan rohani itu perlu diteruskan seiring dengan pembelajaran akademik bagi melahirkan insan yang memiliki keseimbangan antara keperluan dunia dan akhirat.

“Kita mahu memperimbangkan antara soal duniawi dengan soal ukhrawi, soal dunia dan akhirat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, Ketua Pengarah dan seluruh warga KEMAS atas komitmen memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak menerusi pelaksanaan program berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

172
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ABDUL HAKIM UTAMAKAN KEBAJIKAN RAKYAT LENDU
Next post RM79.12 JUTA UNTUK 44 PROJEK PEMBANGUNAN DESA DI MELAKA – AHMAD ZAHID