
PRN MELAKA: ORANG MERLIMAU DAPAT BEZAKAN KACA DAN PERMATA – ONN HAFIZ
MERLIMAU 31 Oktober -Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Dewan Undangan Negeri Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dianggap sebagai seorang pemimpin muda yang cakna, kerap turun padang dan berusaha menangani permasalahan yang dihadapi penduduk di DUN berkenaan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penerimaan warga DUN Merlimau terhadap Dr. Muhamad Akmal dianggap amat positif berdasarkan keapda komitmen dan kesungguhan calon itu dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat.
“Saya lihat di Merlimau ini, rata-rata rakyat dapat bezakan kaca dan permata. Dr. Akmal adalah seorang pemimpin muda yang bukan hanya pandai bercakap, tetapi berusaha untuk menyelesaikan isu-isu rakyat di kawasan Merlimau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Dr. Muhamad Akmal di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Platinum Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Onn Hafiz berkata, rakyat Melaka juga sudah matang dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda yang dibawa pihak lawan, termasuk dakwaan serta kritikan terhadap kepimpinan BN.
“Pengundi di negeri ini juga bijak membuat pertimbangan dalam memilih calon untuk mewakili mereka. Rata-rata yang saya dengar, rakyat di Melaka ini menolak propaganda yang dibawa pihak lawan,” katanya
PRN Melaka Ke-16 menyaksikan pengundian awal ditetapkan pada 10 November, manakala hari pengundian berlangsung pada 14 November ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


