PRN MELAKA JADI PENTAS FORMULA POLITIK BAHARU UMNO-PAS MENUJU PRU – MOHAMED KHALED

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

SUNGAI UDANG 31 Oktober – Kerjasama UMNO dan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 berpotensi menjadi formula politik baharu untuk kedua-dua parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang sekiranya usaha membentuk perpaduan lebih besar itu berjaya direalisasikan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama berkenaan bukan sekadar bertujuan memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rais Yasin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, sebaliknya membawa matlamat lebih besar untuk membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Menurutnya, kejayaan kerjasama itu di Melaka boleh menjadi asas kepada formula politik yang bakal digunakan kedua-dua parti apabila berhadapan PRU kelak.

“Matlamat kita sangat jelas, kita mahu membawa perpaduan yang lebih besar.

“UMNO tercari-cari formula, Pas pun tercari-cari formula untuk berdepan pilihan raya. Kalau ini kita berjaya, inilah formula yang kita akan pakai apabila kita berhadapan dengan pilihan raya umum,” katanya ketika berucap sebelum mengiringi Rais ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Akademi Latihan RELA Malaysia (ALARM), di sini, hari ini.

Turut bersama mengiringi Rais, Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Azian Osman serta lain-lain kenamaan.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, perpaduan lebih besar khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu penting bagi membentuk kestabilan politik, kesepakatan dan permuafakatan yang turut memberi manfaat kepada semua kaum.

Menurutnya, kerjasama antara kedua-dua parti itu sewajarnya direalisasikan lebih awal selepas peluang untuk membentuk persefahaman seumpamanya tidak berjaya dilaksanakan lima tahun lalu.

“Selain daripada apa yang dinyatakan oleh sahabat saya Ustaz Idris (Naib Presiden Pas), ia merupakan permulaan cerminan dua parti Melayu terbesar dalam tanah air yang sewajarnya dapat melahirkan kerjasama antara kedua-dua parti ini.

“Sepatutnya dah lama dah tapi tak jadi lima tahun lepas. Jadi kali inilah kita kena pastikan kerjasama itu dapat dilakukan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, UMNO akan memberikan sokongan kepada calon Pas yang bertanding di kerusi DUN Paya Rumput dalam Parlimen Tangga Batu, sebagaimana Pas turut memberikan sokongan kepada calon BN.

Beliau turut berharap kerjasama itu dapat membantu calon BN dan Perikatan Nasional (PN) memenangi kesemua empat kerusi DUN dalam Parlimen Tangga Batu pada PRN kali ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

458
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: RIDHWAN SEDIA SAMBUNG PERJUANGAN BN DI AYER MOLEK
Next post TOK AJAK YAKIN TELOK MAS ‘KEKAL BIRU’