PRN MELAKA: JASMINE MAHU ANAK MUDA KEMBALI BERKARYA DI BANDAR HILIR

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 31 Oktober – Meskipun diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N22 Bandar Hilir pada saat-saat akhir, Jasmine Lok Huey Yee, 38, tetap bersedia menggalas amanah dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi setempat dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda.

Jasmine, mengakui terkejut apabila menerima panggilan memaklumkan pencalonannya, namun pada masa sama berterima kasih atas kepercayaan pucuk pimpinan MCA yang memberinya peluang untuk mewakili parti itu bertanding di kerusi berkenaan.

Menurutnya, antara keutamaan mahu diperjuangkan adalah merancakkan ekonomi Bandar Hilir memandangkan semakin ramai golongan muda memilih berhijrah ke kawasan lain, termasuk ke luar negeri, bagi mendapatkan pekerjaan.

Katanya, kedudukan Bandar Hilir yang strategik serta menjadi antara tumpuan utama pelancongan Melaka mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pemangkin ekonomi penduduk tempatan.

“Bandar Hilir ini memang sudah tidak ramai orang muda kerana kebanyakannya berpindah ke luar kawasan atau luar negeri untuk mendapatkan pekerjaan.

“Sedangkan Bandar Hilir adalah lokasi strategik dan menjadi tumpuan pelancongan, dengan tarikan seperti Stadthuys, Jonker Walk dan A’Famosa yang terletak dalam kawasan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas mengenai kesediaannya membawa suara penduduk setempat, Jasmine berkata pengalaman selama lima tahun sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memberikan pendedahan luas kepadanya mengenai keperluan dan isu masyarakat di beberapa kawasan di Melaka.

Pada tahun pertama berkhidmat sebagai Ahli Majlis, beliau ditugaskan di DUN Bandar Hilir dan Kota Laksamana sebelum penempatannya dipindahkan ke DUN Kesidang pada Julai 2024 susulan penyusunan semula penempatan Ahli Majlis.

Pengalaman berkhidmat di ketiga-tiga DUN itu, katanya, membolehkannya memahami dengan lebih dekat selok-belok pentadbiran PBT serta pelbagai isu yang dihadapi penduduk setempat.

Yakin peluang berpihak kepada MCA di Bandar Hilir, Jasmine akan memberikan komitmen sepenuhnya sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi untuk mewakili DUN berkenaan.

“Saya percaya, pengalaman sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai Ahli Majlis adalah kelebihan untuk saya meraih keyakinan dan kepercayaan penduduk di DUN ini.

“Saya akan memberikan yang terbaik dan memperjuangkan kepentingan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

221
Kongsi :
Previous post TOK AJAK YAKIN TELOK MAS ‘KEKAL BIRU’
Next post PRN MELAKA: 65 CALON LELAKI, 14 WANITA BERTANDING DI 28 KERUSI DUN