RM79.12 JUTA UNTUK 44 PROJEK PEMBANGUNAN DESA DI MELAKA – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER LIMAU 31 Oktober – Sebanyak RM79.12 juta diperuntukkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi melaksanakan 44 projek pembangunan di Melaka tahun ini, sekali gus memperkukuh kemudahan infrastruktur dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, 16 merupakan projek baharu manakala 28 lagi projek sambungan yang merangkumi pelbagai keperluan asas dan pembangunan modal insan.

Menurutnya, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan masyarakat desa terus menikmati kemudahan yang lebih baik, selain membuka peluang ekonomi dan meningkatkan taraf hidup penduduk.

Antara peruntukan utama ialah RM22.05 juta bagi sembilan projek Jalan Luar Bandar (JALB), RM6 juta untuk satu projek baharu Jalan Perhubungan Desa (JPD) serta RM6 juta bagi dua projek baharu di bawah program Kesejahteraan Rakyat.

Sebanyak RM24 juta turut diperuntukkan bagi 15 projek di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), RM9.22 juta bagi tiga projek sambungan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan RM4.31 juta bagi lapan projek Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

“Kesemua peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan untuk memperkukuh prasarana, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperluas peluang pendidikan dan pembangunan modal insan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketila berucap ketika merasmikan Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GeMMa Desa) Negeri Melaka 2026 di Dewan FELCRA Berhad Ramuan China, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Bidara, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap calon BN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pembangunan luar bandar memerlukan penyelarasan kukuh antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi pelaksana bagi memastikan setiap inisiatif benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, program berkenaan diharap menjadi pemangkin perubahan dalam pendekatan pembangunan desa dengan mengutamakan hasil yang dinikmati rakyat, bukan sekadar jumlah program dilaksanakan.

“Lebih 100 jalan kampung di Melaka telah dinaik taraf menerusi Program Jalan Perhubungan Desa, manakala 4,000 unit lampu solar dipasang bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk.

“Selain itu, Inisiatif Kampung Digital telah memanfaatkan 618 kampung di seluruh negeri, sekali gus membantu mempercepat transformasi digital masyarakat luar bandar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

174
Kongsi :
Previous post PRA-TAHFIZ KEMAS PERKUKUH HAFAZAN AL-QURAN SEJAK USIA DINI – AHMAD ZAHID
Next post DUA PEGAWAI KANAN PENTADBIRAN MELAKA GENGGAM DTM DI KONVOKESYEN UTEM