
MELAKA SATU-SATUNYA NEGERI BEKAL PLASMA UNTUK NEGARA
AYER KEROH 29 Julai – Melaka terus mengukuhkan reputasinya dalam bidang perubatan transfusi apabila menjadi satu-satunya negeri di Malaysia, selain Pusat Darah Negara, yang membekalkan plasma bagi Program Fraksinasi Kebangsaan.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, peranan itu dilaksanakan menerusi Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka yang berjaya memperoleh pengiktirafan pematuhan kepada piawaian Good Manufacturing Practice (GMP) daripada CSL Behring, Australia serta GC Biopharma, Korea Selatan.
Menurut beliau, pengiktirafan berkenaan membolehkan Hospital Melaka membekalkan plasma untuk diproses kepada pelbagai produk perubatan penting yang digunakan dalam rawatan pesakit di seluruh negara.
“Hasil sokongan berterusan serta kadar pendermaan darah yang memberangsangkan dalam kalangan rakyat Melaka, jabatan ini berjaya membekalkan kira-kira 3,500 liter plasma setiap tahun bagi program berkenaan.
“Plasma yang dibekalkan ini diproses bagi menghasilkan pelbagai produk perubatan penting seperti imunoglobulin, albumin dan faktor pembekuan darah yang digunakan dalam rawatan pesakit di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, pada Selasa.
Hee Sem berkata, pencapaian itu bukan sahaja membanggakan Melaka, malah membuktikan setiap sumbangan penderma darah di negeri ini memberi impak besar kepada sistem kesihatan negara.
“Setiap beg darah yang didermakan bukan sekadar membantu pesakit di Melaka, malah menyumbang kepada penghasilan produk berasaskan plasma yang menjadi keperluan penting dalam rawatan pesakit di seluruh Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, kadar pendermaan darah di Melaka juga menunjukkan pencapaian membanggakan apabila mencapai 3.1 peratus daripada jumlah penduduk, sekali gus melepasi sasaran kebangsaan sebanyak 3 peratus.
Pada masa sama, ujarnya peratusan pendermaan darah daripada penderma tetap berdasarkan Pendekatan Petunjuk Kebangsaan (National Indicator Approach) turut menunjukkan angka membanggakan apabila berjaya mencapai sasaran 65 peratus pada 2025, di mana ia menunjukkan trend meningkat berbanding 58 peratus pada 2022.
“Malah, prestasi ini terus melonjak naik apabila sehingga bulan Jun tahun ini, peratusan pendermaan darah dari penderma tetap kita telah mencecah 67%. Ini adalah satu indikator jelas bahawa momentum kesedaran masyarakat kita berada pada landasan yang amat baik,” katanya.
Beliau berkata, segala kejayaan yang dicapai tidak mungkin direalisasikan tanpa komitmen berterusan penderma darah, penganjur program pendermaan darah, rakan strategik serta sukarelawan yang sentiasa menyokong usaha memastikan bekalan darah negara kekal mencukupi dan selamat.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua penderma darah atas sumbangan dan komitmen dalam memperkukuh budaya pendermaan darah di negara ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


