
PRN MELAKA: PENGALAMAN POLITIK ASET RIDHWAN PIMPIN AYER MOLEK – JOHARI
AYER MOLEK 31 Oktober – Pengalaman luas dalam arena politik serta rekod kepimpinan yang dimiliki calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, diyakini menjadi aset penting dalam usaha membawa suara dan aspirasi rakyat di kawasan itu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Bendahari Agung BN, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Mohd Ridhwan bukanlah individu baharu dalam arena politik, malah pernah diberi kepercayaan berkhidmat sebagai senator selain memegang jawatan Ketua Bahagian UMNO.
Menurutnya, pengalaman, pengetahuan dan kelayakan yang dimiliki Ridhwan menjadi antara kelebihan untuk diketengahkan BN, khususnya dalam melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berupaya menggalas tanggungjawab kepimpinan negara pada masa hadapan.
“Sudah tentu pengalaman, pengetahuan dan kelayakan yang dimilikinya merupakan satu aset dalam perjuangan BN untuk bersama-sama melahirkan lebih ramai pemimpin muda bagi menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang.
“Jadi bermula daripada pertandingan di peringkat DUN ini juga menjadi platform untuk mereka membuktikan kebolehan dan bakat masing-masing dalam memimpin rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengiringi Mohd Ridhwan bagi proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC), Dewan Kompleks Japerun Ayer Molek, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kekalahan Ridhwan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebelum ini, Johari berkata, kegagalan memperoleh kemenangan bukan bermakna seseorang pemimpin itu tidak mempunyai peluang untuk kembali berjaya dalam pilihan raya.
Katanya, beliau sendiri mempunyai pengalaman melalui pelbagai cabaran dan jatuh bangun dalam politik, justeru setiap kekalahan perlu dijadikan pengajaran untuk mengenal pasti kelemahan serta memperbaiki pendekatan dalam mendekati rakyat.
Menurutnya, pengalaman sedemikian juga penting bagi membentuk kematangan seseorang pemimpin dalam menghadapi cabaran politik serta memahami kehendak masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


