AHMAD ZAHID SOKONG CSA DIPERLUAS KEPADA PARTI LAIN TERMASUK PEMBANGKANG

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TANJUNG BIDARA 31 Oktober – Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang dimeterai antara Kerajaan MADANI dengan beberapa Ahli Parlimen wajar diperluas kepada parti politik lain tanpa mengira sama ada daripada blok kerajaan atau pembangkang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyambut baik pelaksanaan perjanjian berkenaan yang dilihat sebagai langkah positif dalam memperluaskan kerjasama antara parti politik.

Menurutnya, pendekatan sedemikian dapat membuka ruang kepada lebih ramai wakil rakyat untuk menyantuni keperluan masyarakat tanpa dibatasi perbezaan kedudukan politik.

“Ini satu perkembangan yang baik dan kita menyokong CSA berkenaan.

“Sebaik mungkin CSA ini dilanjutkan kepada lain-lain parti tidak kira sama ada di pihak sebelah kerajaan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Dewan Datuk Kapt (B) Hj. Ab. Karim, Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan kerjasama seumpama itu bukan sesuatu yang baharu kerana pernah dilaksanakan ketika pentadbiran negara diterajui Perdana Menteri daripada UMNO.

“Pada hemat saya apa yang dilakukan ini adalah satu langkah yang baik dan pernah dilakukan oleh kerajaan ketika wakil UMNO menjadi Perdana Menteri pada ketika itu,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan MADANI memeterai CSA bersama 13 Ahli Parlimen, membabitkan enam wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tujuh Ahli Parlimen lain termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Perjanjian berkenaan antara lain bertujuan memperkukuh kestabilan politik dan memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan, termasuk pelaksanaan agenda pembangunan negara serta Belanjawan 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan mekanisme CSA turut membuka ruang kepada penyaluran peruntukan pembangunan kawasan berdasarkan persefahaman yang dipersetujui.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

305
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: RAIS PILIH KEMPEN SANTAI, TEMUI PENGUNDI SECARA BERSEMUKA
Next post PRN MELAKA: DR. AKMAL SALEH CALON NOMBOR 1 DUN MERLIMAU