PRN MELAKA: RAIS PILIH KEMPEN SANTAI, TEMUI PENGUNDI SECARA BERSEMUKA

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

SUNGAI UDANG 31 Oktober – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin memilih pendekatan santai dan bersemuka dengan pengundi sebagai strategi kempen sepanjang 14 hari Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Beliau berkata, gerak kerja kempen akan memberi tumpuan kepada usaha menyantuni seramai mungkin penduduk, termasuk bertemu semula dengan kenalan lama serta mendengar sendiri pandangan dan keperluan masyarakat setempat.

“Gerak kerja strategi kita dalam tempoh dua minggu ini, kita akan menyantuni sebanyak mana masyarakat Sungai Udang yang boleh. Kita santai-santai, berjumpa dengan orang-orang di sini.

“Kepada semua yang berada di Sungai Udang, insya-Allah, saya Rais Yasin akan turun bersama dengan anda sepanjang tempoh dua minggu ini dalam tempoh kempen yang sihat,” katanya katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di Bilik Gerakan Utama BN Sungai Udang di Bandar Baru Sungai Udang, di sini, hari ini.

Terdahulu, pada penamaan calon itu, Rais diiringi Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Azian Osman serta lain-lain kenamaan.

Mengulas inisiatif dan program yang telah dilaksanakan di Sungai Udang, Rais memaklumkan, beliau dan pasukan telah memulakan gerak kerja menyantuni rakyat di kawasan itu bukan baharu, sebaliknya bermula sejak tiga tahun lalu apabila dilantik sebagai Penyelaras DUN.

Jelas beliau, pelbagai program bantuan dan jualan murah telah diadakan di Sungai Udang sepanjang pentadbiran beliau selama ini.

Bagaimanapun, katanya, semua program berbentuk sumbangan dan bantuan dihentikan sementara sepanjang tempoh kempen bagi mengelakkan sebarang pelanggaran peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jadi, saya mohon maaf kepada orang-orang Sungai Udang. Beberapa hari yang lalu, itu adalah yang terakhir. Sekarang saya merupakan calon pilihan raya. Kita tidak ada lagi program sumbangan, program-program yang berbentuk boleh menyalahi kepada kesalahan SPR.

“Insya-Allah, dalam tempoh dua minggu ini, kena bersabar semua. Kalau sayang saya, kita bersabar. Insya-Allah, selepas itu kita akan sambung balik,” katanya.

Beliau berkata, komitmennya untuk terus membantu masyarakat tidak akan terhenti walaupun keputusan PRN kali ini belum diketahui, sebaliknya mahu terus berada bersama penduduk Sungai Udang dan seluruh Parlimen Tangga Batu.

“Menang atau kalah, itu adalah kuasa Allah SWT. Tapi saya akan tetap berada di sini untuk terus membantu rakyat di DUN Sungai Udang dan di seluruh Parlimen Tangga Batu seperti yang saya lakukan ketika saya masih DUN Paya Rumput yang lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

251
Kongsi :
Previous post 79 CALON BERTANDING PRN MELAKA KE-16 – SPR
Next post AHMAD ZAHID SOKONG CSA DIPERLUAS KEPADA PARTI LAIN TERMASUK PEMBANGKANG