WRUR PAYA RUMPUT, MBMB UBATI KERINDUAN WARGA EMAS TONTON TELEVISYEN

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PAYA RUMPUT 31 Julai – Selepas tiga tahun hidup tanpa televisyen, seorang warga emas akhirnya dapat kembali mengikuti perkembangan semasa apabila menerima sumbangan sebuah televisyen baharu.

Sumbangan itu diberikan menerusi Program Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Sayang Rakyat dan Bandaraya Penyayang sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.

Liaw Moy @ Liau Hup Neong, 83, yang turut menerima sebuah mesin basuh serta kit makanan, menyifatkan bantuan itu sebagai antara hadiah paling bermakna buat dirinya.

Warga emas yang tinggal bersama dua anaknya itu berkata, sepanjang tempoh tiga tahun tanpa televisyen, dia hanya bergantung kepada orang sekeliling untuk mengetahui perkembangan semasa dan amat merindui rutin menonton berita setiap hari.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada MBMB serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin, atas bantuan yang diberikan. Selepas tiga tahun, akhirnya saya dapat kembali menonton berita.

“Bagi orang lain mungkin televisyen ini perkara biasa, tetapi bagi saya ia amat bermakna kerana dapat mengisi masa lapang selain mengikuti perkembangan semasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas menerima bantuan itu, pada Khamis.

IMG
RABILAH

Sementara itu, seorang lagi penerima, Rabilah Ameer Batcha, 56, turut melahirkan rasa syukur apabila menerima bantuan berupa barangan elektrik.

Katanya, sumbangan itu bukan sahaja meringankan beban, malah memberi keselesaan kepada keluarganya dalam menjalani kehidupan seharian.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan MBMB atas keprihatinan ini. Barangan yang diberikan sangat membantu dan sedikit sebanyak memberikan keselesaan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Terdahulu, Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri bersama Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, menyantuni enam keluarga penerima bantuan di kediaman masing-masing sekitar DUN Paya Rumput.

Menerusi program itu, setiap keluarga menerima bantuan bernilai RM2,500 merangkumi barangan keperluan mengikut keperluan sebenar serta bantuan tunai, sekali gus mencerminkan pendekatan MBMB yang bukan sekadar menyalurkan sumbangan, tetapi turun padang menilai sendiri keadaan rakyat bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar memberi manfaat dan membantu meningkatkan kualiti hidup penerima.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

513
Kongsi :
Previous post MENARA TAMING SARI TAMPIL LEBIH ‘SEGAR’, DIBUKA SEMULA 1 OGOS
Next post JKKP BIMBING PMKS TINGKAT TAHAP PEMATUHAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJA