
FIESTA ADAT PERPATIH MELAKA 2026 ANGKAT WARISAN, BUDAYA
TABOH NANING 12 Ogos – Fiesta Adat Perpatih Negeri Melaka 2026 yang bakal dianjurkan pada 5 September depan di Rumah Adat Perpatih Negeri Melaka bakal menjadi satu lagi acara pelancongan yang mengangkat keunikan budaya.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah berkata, penganjuran fiesta itu bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan keunikan Adat Perpatih kepada masyarakat, malah penting dalam usaha memastikan warisan budaya berkenaan terus dipelihara dan diwarisi generasi akan datang.
“Fiesta Adat Perpatih Negeri Melaka 2026 akan menjadi wadah untuk kita mengetengahkan keunikan adat, budaya dan warisan Adat Perpatih kepada masyarakat secara lebih dekat dan menyeluruh memandangkan adat ini masih diamalkan di Melaka, selain Negeri Sembilan.
“Pada masa sama, kita mahu memastikan khazanah warisan ini terus dipelihara, dihargai dan dimartabatkan supaya dapat difahami serta diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Terdahulu, Erne telah mengadakan lawatan tapak ke Rumah Adat Perpatih Negeri Melaka baru-baru ini sebagai antara persiapan awal sebelum berlangsungnya fiesta berkenaan.
Jelas beliau, lawatan itu memberi peluang kepada pihak PERZIM meninjau dan menyelaras perancangan bagi memastikan kelancaran perjalanan program pada hari berkenaan.
“Kita mahu memastikan setiap aspek pelaksanaan disusun dengan baik lebih awal supaya fiesta ini dapat berlangsung dalam suasana yang lancar, teratur dan memberi pengalaman bermakna kepada pengunjung.
Tambah beliau, pelbagai pengisian menarik bakal diketengahkan menerusi fiesta berkenaan dengan memberi tumpuan kepada aspek adat, budaya serta warisan Adat Perpatih.
“Kita berharap masyarakat khususnya generasi muda dapat mengambil peluang untuk mengenali dan memahami Adat Perpatih, bukan sekadar sebagai warisan masa lalu tetapi sebagai sebahagian daripada identiti dan khazanah budaya yang perlu terus dipelihara,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


