34 SYARIKAT MELAKA TERSENARAI DI BURSA MALAYSIA, 2 LAGI MENYUSUL

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 8 Ogos – Sebanyak 34 syarikat dari Melaka kini tersenarai di Bursa Malaysia, manakala dua lagi syarikat milik Kerajaan Negeri sedang dipersiapkan untuk menyusul seawal 2028 dan 2029.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu membuktikan syarikat yang berpangkalan di Melaka mempunyai keupayaan untuk berkembang dan menembusi pasaran modal di peringkat nasional.

Menurutnya, daripada ekosistem Kerajaan Negeri yang merangkumi 13 agensi, 47 anak syarikat aktif serta empat Syarikat Menurut Jaminan, dua syarikat kini sedang dipersiapkan ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia.

“Daripada kekuatan inilah, kita kini sedang mempersiapkan dua syarikat untuk melangkah lebih jauh, dengan sasaran menuju penyenaraian di Bursa Malaysia.

“Pertama, Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. yang kini sedang melalui proses penilaian kesiapsiagaan syarikat serta penstrukturan semula organisasi sebagai persediaan ke arah Tawaran Awam Permulaan atau IPO, yang disasarkan seawal suku pertama tahun 2028.

“Kedua, Syarikat Air Melaka Berhad yang juga sedang melalui proses penstrukturan semula syarikat serta ‘due diligence’, dengan sasaran seawal suku pertama tahun 2029,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada RHB–Bursa Retail Corporate Day 2026 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Perbankan RHB Datuk Mohd Rashid Mohamad; Ketua Pegawai Kawal Selia, Bursa Malaysia Berhad Julian Mahmud Hashim serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, usaha memperluas penyertaan syarikat Melaka dalam pasaran modal tidak seharusnya terhad kepada syarikat milik Kerajaan Negeri, sebaliknya lebih banyak syarikat tempatan perlu dipersiapkan untuk melangkah ke pentas lebih besar.

“Jadi, bagi saya, persoalannya bukan lagi sama ada syarikat Melaka mampu pergi lebih jauh atau tidak kerana kita sudah pun ada buktinya. Persoalan yang lebih penting ialah, berapa banyak lagi syarikat yang boleh kita persiapkan untuk menyusul?,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

910
Kongsi :
Previous post HLN 2026: ELEMEN AIR, ARCA GAJAH JADI IDENTITI PAVILION MPAG
Next post MIHF 2026: 500 BAKAL PENGANTIN BERPELUANG IKUTI KURSUS KAHWIN PERCUMA