
FELDA HUTAN PERCHA SERLAH KEUNIKAN, WARNA-WARNI BUDAYA DESA
MACHAP JAYA 12 Ogos – Kepelbagaian budaya, makanan dan produk pelancongan menjadikan Felda Hutan Percha bukan sekadar sebuah penempatan luar bandar, malah mempunyai keunikan tersendiri yang mampu diperkenalkan kepada pengunjung dari luar negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Hutan Percha, Nizam Baharom berkata keunikan berkenaan antara faktor kampung itu dipilih sebagai destinasi Program Latihan Antarabangsa African-Asian Rural Development Organization (AARDO) yang membabitkan delegasi dari 18 negara.
Katanya, pemilihan Felda Hutan Percha bagi program itu turut membanggakan dan menggembirakan penduduk kampung yang berpeluang memperkenalkan kehidupan serta budaya masyarakat desa kepada delegasi antarabangsa.
“Saya amat terharu, bersyukur dan berterima kasih kepada kepimpinan Institut Kemajuan Desa (INFRA) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kerana memilih Felda Hutan Percha sebagai destinasi AARDO ini.
“Sebenarnya kampung ini dipilih kerana kita mempunyai kepelbagaian produk pelancongan, kepelbagaian budaya dan yang pentingnya kita ada kepelbagaian makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Sambutan Program Latihan Antarabangsa AARDO yang turut dihadiri Pengarah INFRA KKDW, Abd Jalil Ismail, di Dewan Serbaguna Felda Hutan Percha, di sini, pada Selasa.
Menurut Nizam, antara aktiviti yang diperkenalkan kepada delegasi AARDO termasuk mengacau dodol, membuat kuih tradisional, adat majlis perkahwinan dan mengukur kelapa.
“Kita akan tunjukkan kepada mereka budaya masyarakat kampung yang begitu menarik, sekali gus memberikan pengalaman dan meninggalkan kenangan manis untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.
“Kampung ini juga pernah terlibat dalam penilaian ASEAN Tourism Standard (ATS), sekali gus memberi ruang kepada komuniti Felda Hutan Percha memperkenalkan keunikan yang dimiliki kepada pihak luar,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, usaha mengekalkan budaya dan produk pelancongan sedia ada perlu diberi perhatian supaya keunikan kampung berkenaan dapat terus diwarisi.
“Setakat ini kita telah mempelajari di peringkat INFRA juga bahawa kita akan pastikan budaya-budaya yang ada ini berterusan.
“Usaha memperkukuh pelancongan komuniti juga diharap dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat kerana orang kampung akan turut menerima limpahan ekonomi daripada perkembangan sektor ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


