MAIM SEDIA BANTU KOS RAWATAN, INI CARA MOHON

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER MOLEK 12 Ogos – Penjaga atau keluarga yang memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan dan pembedahan boleh mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dengan hadir ke mana-mana empat cawangan Bahagian Agihan Zakat di negeri ini.

Ketua Seksyen Bahagian Agihan Zakat MAIM, Nazril Hizam Yusoff berkata, prosedur permohonan bantuan khususnya bagi bantuan perubatan dan pembedahan adalah jelas dan pemohon hanya perlu hadir ke pejabat agihan zakat cawangan yang berdekatan.

Menurutnya, MAIM mempunyai empat cawangan Bahagian Agihan Zakat iaitu di Melaka Tengah, Merlimau, Jasin dan Alor Gajah yang menyediakan kaunter khidmat pelanggan bagi membantu pemohon mendapatkan penerangan berkaitan jenis bantuan serta dokumen yang diperlukan.

“Kalau ada sesuatu kesusahan termasuk bantuan perubatan atau pembedahan, penjaga hanya perlu datang ke pejabat agihan zakat MAIM yang berdekatan untuk memohon bantuan am.

“Kita ada empat cawangan dan setiap pejabat turut menyediakan kaunter khidmat pelanggan. Pemohon boleh bertanya terus kepada pegawai dan mereka akan membantu memberi penerangan prosedur yang diperlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi ziarah bersama Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem ke kediaman pesakit jantung terbalik, Muhammad Ean Maleeq Mohd Faris, 3, di Taman Tiang Dua Mutiara, di sini, pada Selasa.

Menurut Nazril Hizam, antara dokumen asas yang perlu disediakan pemohon adalah seperti kad pengenalan, rekod perubatan serta dokumen berkaitan kos rawatan atau pembedahan.

Sementara itu, mengulas bantuan kepada adik Ean, beliau berkata, MAIM sebelum ini menyalurkan bantuan am berjumlah RM5,000 bagi membantu menampung sebahagian kos rawatan dan pembedahan kanak-kanak berkenaan yang mengalami masalah jantung dan saluran darah terbalik.

Menurutnya, MAIM dimaklumkan adik Ean akan menjalani satu lagi pembedahan besar kira-kira dua tahun lagi dan pihaknya akan terus memantau keperluan keluarga itu bagi bantuan yang diperlukan.

“Kita akan melihat dari semasa ke semasa sebarang bentuk bantuan lain, termasuk keperluan alat bantuan oksigen kerana kita dimaklumkan paras oksigen adik ini tidak stabil dan berada sekitar paras 70 hingga 75 peratus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

577
Kongsi :
Previous post FIESTA ADAT PERPATIH MELAKA 2026 ANGKAT WARISAN, BUDAYA
Next post SUKMA: MELAKA SASAR EMAS BERBASIKAL, MOHD HAFIQ JADI SANDARAN