TOK RAUF PUJI KOMITMEN YB ALONG SANTUNI 32,000 WARGA ASAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

ASAHAN 23 Ogos – Komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan atau lebih mesra dikenali sebagai ‘YB Along’, yang tidak jemu turun padang mendapat penghargaan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, kekuatan sesebuah kerajaan bukan sekadar diukur berdasarkan sejauh mana ia berada di hadapan, sebaliknya sejauh mana pemimpin kekal dekat dengan rakyat yang memberikan amanah dan mandat.

Menurut beliau, prinsip berkenaan diterjemahkan menerusi kehadiran wakil rakyat yang sentiasa turun menyelami denyut kehidupan rakyat, selain mendengar, melihat serta bertindak pantas mencari penyelesaian terhadap permasalahan dihadapi.

“Dan prinsip inilah yang saya lihat diterjemahkan oleh YB Datuk Fairul Nizam, atau orang-orang Asahan lebih mesra mengenali beliau sebagai ‘YB Along’ kita.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau selaku Adun Asahan yang tidak pernah jemu turun padang, memastikan lebih 32,000 warga Asahan sentiasa berada dalam radar perhatian dan sentuhan perkhidmatan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah MeSRa Bersama Masyarakat sempena siri Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Asahan di Taman Nyalas Permai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Menurut Ab Rauf, pendekatan wakil rakyat yang sentiasa bersama masyarakat penting bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat dikenal pasti dan ditangani dengan lebih berkesan.

Di bawah pentadbiran beliau, prinsip yang diterapkan amat jelas iaitu wakil rakyat mesti turun menyelami denyut kehidupan rakyat; mesti hadir, mendengar dan melihat serta mesti tangkas mencari solusi.

“Kerana akhirnya rakyat tidak memilih kita untuk sekadar hadir, tetapi untuk bekerja, bertindak dan bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

347
Kongsi :
Previous post ‘KENAPA MELAKA TAK RELAKS?’ INI KATA TOK RAUF
Next post AGENDA SEJAHTERAKAN ASAHAN BELUM BERAKHIR